Mahkamah tolak saman fitnah terhadap Ayob Khan

Mahkamah tolak saman fitnah terhadap Ayob Khan

Peguam Kamal Hisham Jaafar memfailkan saman terhadap bekas ketua polis Johor itu kerana didakwa merosakkan reputasinya dalam satu sidang media pada 2021.

Mahkamah Tinggi berkata Timbalan KPN Ayob Khan Mydin Pitchay yang ketika itu ketua polis Johor, tidak menamakan peguam berkenaan sepanjang sidang akhbar tersebut. (Gambar Bernama)
SHAH ALAM:
Mahkamah Tinggi menolak saman fitnah seorang peguam terhadap Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay.

Kamal Hisham Jaafar memfailkan saman terhadap Ayob pada 2021, susulan kenyataan pada satu sidang media bahawa polis telah menahan seorang peguam kerana didakwa menipu sebuah syarikat pengiklanan melibatkan kerugian RM185,062.

Ayob yang ketika itu ketua polis Johor, mendakwa peguam berkenaan mempunyai pertalian dengan keluarga diraja Johor, dan sebelum ini telah disabitkan atas tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah (CBT).

Kamal mendakwa Ayob mahu merosakkan reputasinya dan “memutarbelitkan” kes jenayah Kamal ketika sidang media berkenaan.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Tee Geok Hock menolak saman Kamal itu kerana Ayob tidak menyebut nama peguam berkenaan sepanjang sidang media itu, yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Tee turut memerintahkan Kamal membayar kos berjumlah RM20,000.

“Defendan (Ayob) tidak menyatakan apa-apa yang boleh menyebabkan pendengar membuat sebarang andaian munasabah bahawa ‘suspek peguam’ itu adalah peguam sama yang menarik publisiti dalam akhbar beberapa tahun sebelum tarikh sidang media berkenaan,” katanya.

Mahkamah turut diberitahu Kamal didakwa atas 17 tuduhan melibatkan pecah amanah jenayah, pengubahan wang haram dan kesalahan di bawah Akta Syarikat di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 2015.

Beliau didenda RM30,000 selepas mengaku salah pada 2018 atas tuduhan pilihan di bawah Akta Syarikat.

Enam belas tuduhan lain terhadapnya itu diambil kira mahkamah untuk tujuan hukuman, tetapi tiada sabitan direkodkan.

Tee berkata, Ayob atas dasar imbangan kebarangkalian bahawa Kamal telah mengaku melakukan kesalahan CBT dan pengubahan wang haram sebelumnya.

Katanya, tiadanya rekod rasmi berhubung sabitan atas kesalahan itu tidak menyebabkan reputasi Kamal terjejas.

“Bagi orang yang munasabah, dalam konteks fitnah, tiada perbezaan nyata antara rekod sabitan seorang tertuduh, dengan pengakuan tertuduh itu di mahkamah terhadap tuduhan berkenaan.

“Dalam kedua-dua keadaan, pemahaman orang yang munasabah adalah tertuduh itu bersalah.”

Selain itu, katanya, tiada niat jahat oleh Ayob untuk merosakkan reputasi Kamal, berdasarkan nada dan raut wajahnya ketika sidang media berkenaan.

“Berdasarkan pemerhatian saya, mahkamah ini mendapati defendan semata-mata membacakan kenyataan media seperti disediakan oleh seorang bernama ACP Siva secara rasmi dan profesional,” katanya, merujuk kepada pegawai penyiasat.

“Tiada bukti atau petunjuk langsung yang mencadangkan wujud sebarang niat jahat, dan tiada putar belit sengaja dibuat terhadap apa-apa maklumat.”

Hakim berkata Ayob sebagai ketua polis negeri, mempunyai kewajipan untuk memaklumkan orang awam supaya tidak menjadi mangsa penipuan serupa.

“Mahkamah tidak mendapati sebarang niat di pihak defendan untuk memalukan perwatakan, imej, dan kerjaya plaintif,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.