
Ketua Polis Gerik, Zulkifli Mahmood berkata, melalui keterangan saksi yang juga suami dan bapa mangsa, kebakaran itu dipercayai bermula di bahagian dapur kira-kira 4 pagi tadi.
“Saksi juga cuba menyelamatkan kedua-dua mangsa, tetapi tidak berupaya sebelum meminta bantuan penduduk berhampiran.
“Hasil siasatan di lokasi kejadian turut mendapati pondok tersebut jauh dari jalan utama dan merupakan laluan tanah merah ke kawasan kebun,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata, hasil bedah siasat juga mengesahkan kematian kedua-dua mangsa disebabkan kecederaan akibat kebakaran, selain diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Pemeriksaan lanjut pada tubuh mangsa juga tidak menemui sebarang kecederaan lain. Jenazah kedua-dua mangsa diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.”
Dalam kejadian awal pagi tadi itu, Rahmah Zainon, 76, ditemui rentung bersama anak perempuannya, Razilawati Mohamad, 43, yang cacat penglihatan dalam kebakaran sebuah pondok di dusun buah-buahan.
Turut berada dalam pondok ketika kejadian ialah suami yang juga bapa mangsa, Mohamad Abd Latif, 84.
Saudin Mohamad, 37, yang juga anak Rahmah ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Gerik berkata, mereka sekeluarga berulang-alik dari kampung di Kuala Ketil, Kedah ke pondok dalam dusun keluarga yang ditanam durian dan buah-buahan lain selama lebih 30 tahun.
Anak bongsu daripada lapan beradik itu berkata, mereka sekeluarga baru berkumpul di pondok itu sebelum dia dan adik-beradik lain pulang ke Kuala Ketil minggu lepas, manakala bapa, ibu serta kakaknya yang juga anak keenam memutuskan untuk tinggal lebih lama.
“Kakak memang paling rapat dengan ibu dan ayah. Ke mana-mana kakak memang selalu bersama mereka. Ibu pula menyatakan dia mahu tinggal lebih lama di rumah dusun itu kerana berasa tenang di situ,” katanya yang hanya mengetahui kematian ibu dan kakaknya sebaik tiba dari Kuala Ketil pagi tadi.
Saudin berkata, dia difahamkan bapanya cuba memadamkan api yang disyaki berpunca daripada jerangan air, tetapi terlambat kerana api marak terlalu cepat dan menyambar pondok kayu itu.
Katanya, jenazah ibu dan kakaknya akan dibawa balik ke Kuala Ketil untuk dikebumikan selepas bedah siasat.