Hampir 600,000 nahas dilapor sepanjang 2023

Hampir 600,000 nahas dilapor sepanjang 2023

Daripada jumlah itu lebih 12,000 melibatkan kematian.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Mohd Nasri Omar berkata kes maut paling tinggi berlaku di Selangor, Johor, dan Perak. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sejumlah 598,635 kes kemalangan jalan raya dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga 30 Dis 2023.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Mohd Nasri Omar berkata daripada jumlah itu, sebanyak 12,417 merupakan kemalangan melibatkan kematian.

“Sementara 2,331 kes membabitkan kemalangan parah dan 28,511 kemalangan ringan, manakala selebihnya hanya melibatkan kerosakan pada kenderaan,” katanya kepada pemberita selepas Operasi Ambang Tahun Baharu di Plaza Tol Jalan Duta, awal pagi tadi.

Beliau berkata, Selangor mencatatkan jumlah kes kemalangan tertinggi dengan 173,129 kes, diikuti Johor (87,370 kes) dan Kuala Lumpur (72,701 kes).

Menurutnya, Selangor juga mencatatkan jumlah kematian paling tinggi dengan 2,092 orang, kemudian Johor (2,010), dan Perak (1,321).

Polis melalui JSPT telah melaksanakan operasi bersepadu ambang tahun baharu secara besar-besaran di seluruh negara melibatkan semua kontinjen dan daerah bermula 8 malam hingga 5 pagi tadi.

Operasi itu melibatkan 4,378 pegawai dan anggota, selain pelbagai agensi penguat kuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Antidadah Kebangsaan, Jabatan Alam Sekitar, dan imigresen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.