Gempa bumi di Jepun: PM, isteri zahir simpati

Gempa bumi di Jepun: PM, isteri zahir simpati

Anwar Ibrahim berkata kerajaan menerusi Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia sedang memantau rapat sebarang perkembangan terkini mengenai bencana itu.

Gempa bumi dengan magnitud 7.6 mencetuskan amaran tsunami di sepanjang kawasan pantai barat Jepun dengan gelombang tsunami kecil sampai ke pantainya. (Gambar Kyodo News/AP)
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri Dr Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan rasa simpati terhadap rakyat Jepun terutamanya di Wilayah Ishikawa yang dilanda gempa bumi, semalam.

Menerusi perkongsian di Facebook, Anwar berkata kerajaan menerusi Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia di Jepun sedang memantau rapat sebarang perkembangan terkini mengenai bencana itu.

“Moga yang terkesan diberi ketabahan dan kesabaran dalam waktu sukar dan mencabar ini termasuk rakyat kita di sana,” menurut catatan itu.

Gempa bumi itu dengan magnitud 7.6, mencetuskan amaran tsunami di sepanjang kawasan pantai barat Jepun dengan gelombang tsunami kecil sampai ke pantainya.

Terdahulu, Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan setakat ini tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terjejas akibat bencana itu.

Menurut Wisma Putra, rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo di talian +81-3-3476-3840 atau +8180-3913-3840 (kecemasan) dan e-mel [email protected] atau [email protected].

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.