
Sebalikya, perdana menteri berkata beliau mahu menumpukan membangunkan negara dan menjaga rakyat.
“Saya ada baca mengenai ‘Langkah Dubai’ tapi bagi saya kita tumpu soal kerja.
“Itu kerja mereka bagi saya tidak beri kesan dan yang penting kita sudah mula hari ini lancarkan satu program penting bagi rakyat,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pangkalan Data Utama (Padu) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).
Minggu lalu, media melaporkan dakwaan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom), Ismail Yusop, wujud “Langkah Dubai” membabitkan pertemuan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dan blok kerajaan di Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.
Beliau mendakwa, pertemuan untuk menumbangkan kerajaan perpaduan pimpinan Anwar turut membabitkan tokoh politik veteran berpengaruh yang bergelar Tun menggunakan dana asing.
Pertemuan itu didakwa bertujuan membahagikan tugas kepada “ejen” untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan kepada pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.
Terdahulu, semasa Anwar melancarkan Padu, Anwar berkata penyasaran subsidi dan pelaksanaannya akan menyebabkan golongan “maha kaya” tidak mendapat manfaat.
Katanya, penyasaran subsidi dilaksanakan bukan untuk menaikkan tarif cukai tetapi hanya menarik subsidi yang diterima oleh golongan “maha kaya”.
“Amalan di Malaysia tahun demi tahun tak pernah tukar sedekah atau subsidi diberikan kepada semua rakyat dan bukan warganegara.
“Saya tanya yang bantah ini kamu nak pertahankan siapa…pertahankan warga asing atau golongan paling kaya,” katanya.
Anwar berkata, bagi memastikan pengendalian data yang selamat, aspek keselamatan siber termasuk sistem dan perlindungan maklumat peribadi diberi perhatian khusus.
“Dalam hal ini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memberikan usaha yang terbaik untuk memastikan bahawa tiada sebarang kebocoran data berpunca daripada Padu,” katanya.