Beri kad ATM, nombor pin secara fizikal, pesara rugi RM540,000

Beri kad ATM, nombor pin secara fizikal, pesara rugi RM540,000

Sindiket meminta mangsa meninggalkan kad ATM dan nombor pin di satu lokasi, berbanding secara dalam talian.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat berkata mangsa berusia 75 tahun mendakwa mendapat arahan daripada seorang ‘pegawai kanan polis’.
PETALING JAYA:
Sindiket phone scam kini semakin berani apabila memperdaya seorang warga emas meninggalkan kad ATM dan nombor pin akaun mangsa secara fizikal, sebelum melesapkan sejumlah RM543,000.

Sebelum ini, modus operandi sindiket berkenaan yang sering dilaporkan adalah dengan mangsa diperdaya memberi nombor pin menerusi telefon atau melalui aplikasi dalam talian semata-mata.

Ketua Polis Johor Kamarul Zaman Mamat, berkata mangsa berusia 75 tahun yang juga pesara swasta mendakwa mendapat arahan daripada seorang “pegawai kanan polis”.

Katanya, mangsa berbuat demikian kerana takut selepas dikatakan akan ditangkap dan direman kerana mempunyai rekod jenayah.

Kamarul Zaman Mamat.

“Oleh kerana takut, pengadu telah mengikut arahan suspek dengan mengeluarkan wang dari akaun miliknya dan memindahkan RM543,000 ke akaun lain miliknya.

“Pengadu juga telah mengikut arahan suspek untuk meletak dan meninggalkan kad ATM dan nombor pin akaun di satu lokasi diarahkan,” katanya dalam kenyataan sambil menambah mangsa dihubungi pada November tahun lalu.

Polis yang menerima laporan pada semalam, memaklumkan mangsa hanya sedar ditipu apabila semakan pada awal bulan ini mendapati wang dalam akaunnya itu telah hilang.

“Pengadu mendapati telah berlaku transaksi pindahan keluar wang dari akaun tersebut ke beberapa penama yang tidak dikenali,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kamarul Zaman berkata, sekiranya telah menjadi mangsa penipuan, pihaknya meminta mangsa menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan di 997 dengan seberapa segera sebagai tindakan awal menyekat pengaliran keluar wang dari akaun suspek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.