Samun warga asing, 3 remaja ditahan

Samun warga asing, 3 remaja ditahan

Pelajar sekolah menengah berusia 14 hingga 15 tahun itu ditahan jam 2 pagi selepas dipercayai menyamun mangsa membabitkan kerugian RM500.

Tiga suspek berusia 14 hingga 15 tahun itu ditahan reman lima hari, menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Ridzuan Khalid. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Tiga pelajar lelaki sebuah sekolah menengah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjatakan pisau terhadap seorang lelaki warga asing di Taman Connaught, Cheras.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras Ridzuan Khalid berkata suspek berusia 14 hingga 15 tahun itu dipercayai menyamun mangsa pada 11.30 malam semalam sebelum ditahan pada jam 2 pagi tadi.

Beliau berkata mangsa mengalami kerugian RM500, tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Hasil semakan mendapati kesemua suspek tidak memiliki rekod jenayah lampau dan direman selama lima hari sehingga 14 Jan. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya menurut laporan Bernama.

Ridzuan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-92845050/5051 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.