
Mohd Hafiz Ahmad, 42, didakwa menerima rasuah pada 2020 daripada sebuah syarikat infrastruktur berkaitan tugas rasminya.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan pertama pada 3 petang 20 Feb 2020 di Malayan Banking Bhd cawangan Rivercity di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.
Kesalahan kedua dikatakan berlaku pada 4.32 petang 15 April di lokasi sama, manakala kesalahan ketiga didakwa berlaku pada 6.24 petang 21 Mei di tempat sama.
Hafiz didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima suapan sebagai penjawat awam yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Hakim Azura Alwi membenarkan ikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, selain memerintahkan pasport Hafiz disita.
Tertuduh kemudian membayar jaminan itu.
Terdahulu, pegawai pendakwa Zahariman Keman meminta ikat jamin RM10,000 memandangkan keseriusan pertuduhan itu.
Tetapi, peguam Hazman Ahmad yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah kerana tertuduh perlu menjaga isterinya yang sakit dan empat anak.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 6 Mac ini.