Mangsa banjir 4 negeri turun

Mangsa banjir 4 negeri turun

Pusat Kawalan Bencana Negara melaporkan seramai 2,953 mangsa masih berlindung di 38 PPS di Terengganu, Pahang, Kelantan dan Johor.

Beberapa sungai di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu didapati masih berada pada paras bahaya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seramai 2,953 mangsa banjir masih berlindung di 38 pusat pemindahan sementara (PPS) di Terengganu, Pahang, Kelantan dan Johor setakat 6 pagi tadi.

Menurut laporan terkini Pusat Kawalan Bencana Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), di Terengganu, sebanyak 1,188 mangsa ditempatkan di 10 PPS di Dungun, Besut (tujuh PPS, 416 mangsa), Setiu (empat PPS, 87 mangsa) dan Hulu Terengganu (tiga PPS, 121 mangsa).

Di Kelantan, enam PPS dibuka di Tanah Merah dengan menempatkan 325 mangsa, Kuala Krai (tiga PPS, 85 mangsa) dan Pasir Puteh (satu PPS, 28 mangsa) manakala di Pahang, satu PPS dibuka di Kuantan yang menempatkan 468 mangsa dan satu PPS di Rompin dengan sembilan mangsa.

Di Johor, 197 mangsa ditempatkan di satu PPS di Mersing dan 29 mangsa di satu PPS di Kota Tinggi.

Sementara itu, tinjauan situasi di Stesen Telemetri Jabatan Pengairan dan Saliran mendapati beberapa sungai masih berada pada paras bahaya di Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Selangor dan Terengganu.

Sungai terlibat ialah Sungai Endau di Kluang dan Mersing, Sungai Pungai, Sungai Johor dan Sungai Sedili Kecil di Kota Tinggi (Johor), Sungai Kedah di Kota Setar (Kedah), Sungai Golok di Pasir Mas (Kelantan), Sungai Pahang di Jerantut, Cameron Highlands, Kuantan, Maran dan Pekan, Sungai Rompin (Pahang), Sungai Arau (Perlis), Sungai Kinabatangan (Sabah), Sungai Klang di Petaling (Selangor), Sungai Dungun serta Sungai Terengganu di Hulu Terengganu (Terengganu).

Nadma turut memaklumkan 37 jalan ditutup akibat banjir, jambatan rosak, jalan dan cerun runtuh antaranya di Jalan Durian Mentangau di Dungun Terengganu, Jalan Mawai Lama di Kota Tinggi, Johor dan Jalan Utama Panching di Kuantan, Pahang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.