
Pengerusi BN berkata, keikhlasan PH terbukti apabila jawatan menteri besar diserahkan kepada Umno meskipun BN hanya menang sembilan kerusi, berbanding PH 24 kerusi, pada PRU15.
“Harapan saya biarpun ketika ini PH mempunyai 24 kerusi dan BN sembilan kerusi, janganlah tinggalkan kami.
“Di bawah kepimpinan menteri besar dan didokong semangat perpaduan yang kita lihat hari ini, saya yakin kita boleh bawa lebih dari sembilan kerusi itu (PRU16),” katanya menurut Sinar Harian.
Beliau berkata, keikhlasan ditunjukkan sebelum ini telah membuktikan BN dan PH mampu mengikat kerjasama sebagai kerajaan perpaduan bukan sahaja di peringkat negeri, malah di peringkat Pusat.
Zahid yang juga presiden Umno, berkata keikhlasan itu harus diikuti dengan perundingan telus bagi mengelak berlakunya perebutan jawatan dalam kalangan pemimpin parti.
“Kita adik-beradik jadi berunding elok-elok. Insya-Allah, Datuk Seri Saarani Mohamad (pengerusi BN Perak) akan mempertahankan kerajaan perpaduan ini di Perak,” katanya.