
Beliau berkata terdapat sedikit kerisauan berhubung pemilikan akaun TikTok oleh golongan terbabit selain garis panduan komuniti media sosial tersebut menyatakan kanak-kanak bawah usia 13 tahun tidak dibenarkan untuk membuka akaun di platform itu.
“Tetapi berdasarkan pengalaman, termasuk mereka di kawasan saya (Parlimen Lembah Pantai), ramai pelajar sekolah rendah yang ada akaun TikTok. Ini suatu keadaan yang amat menggusarkan dan merisaukan.
“Ada beberapa trend yang tidak baik yang kita lihat tular di media sosial termasuk TikTok dan kanak-kanak boleh terikut. Saya rasa kita perlu awasi apa yang anak-anak layari bila menggunakan Internet.
“Kita mungkin perlu memanggil pengurusan TikTok untuk mendapatkan penjelasan dari segi penguatkuasaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang.
Selain itu, Fahmi berkata beliau juga akan berbincang dengan Jabatan Peguam Negara jika perlu mengambil tindakan perundangan terhadap pengurusan TikTok berhubung pemilikan akaun oleh kanak-kanak, seperti yang dilakukan negara luar.
Ditanya jika TikTok telah melakukan penambahbaikan selepas dinyatakan pematuhan operasinya terhadap undang-undang Malaysia masih tidak memuaskan dan perlu diperbetulkan sebelum ini, Fahmi berkata: “Mereka telah memperbaiki, namun tindakan berkaitan sedang diteliti bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
“Kita sudah ada beberapa pertemuan dengan Jabatan Peguam Negara dan sedang teliti beberapa aspek dan akan bawa satu memorandum Jemaah Menteri untuk diputuskan sebelum kita mengambil tindakan,” katanya.
Fahmi berkata tindakan itu dibuat kerana berlaku penyalahgunaan media sosial itu antaranya dalam isu seperti ekstremisme, fahaman agama melampau, budaya takfiri dan isu yang boleh menjejaskan keharmonian negara.