Najib boleh mohon lagi pengampunan penuh, kata bekas hakim

Najib boleh mohon lagi pengampunan penuh, kata bekas hakim

Hamid Sultan Abu Backer memetik kes bekas menteri belia dan sukan Mokhtar Hashim membuat permohonan sekali lagi untuk mendapatkan pengampunan.

Hakim bersara Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer berkata tiada peruntukan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan (kuasa pengampunan) yang menghalang Najib Razak untuk memohon pengampunan lagi. (Gambar UKM)
PETALING JAYA:
Bekas perdana menteri Najib Razak boleh membuat satu lagi permohonan kepada Lembaga Pengampunan untuk mendapatkan pengampunan penuh, kata hakim bersara Mahkamah Rayuan Hamid Sultan Abu Backer.

Menurut Hamid, tiada peruntukan dalam Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan (kuasa pengampunan) yang menghalang Najib untuk memohon pengampunan lagi.

“Beliau boleh membuat lagi permohonan kepada Lembaga Pengampunan dan bertanya adakah ia akan dilayan. Pengampunan kuasa prerogatif raja,” katanya kepada FMT.

Hamid berkata bekas menteri belia dan sukan Mokhtar Hashim membuat permohonan susulan untuk pengampunan dan hukumannya dikurangkan lagi kepada hukuman penjara. Beliau kemudiannya dibebaskan sekitar 1991.

Mokhtar disabitkan dengan kesalahan membunuh Adun Gemencheh Taha Talib dan hukuman matinya ditukar kepada penjara seumur hidup oleh Lembaga Pengampunan Negeri Sembilan.

Hamid mengulas pengurangan hukuman penjara Najib dari 12 kepada enam tahun. Bekas perdana menteri itu dijadual dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Hukuman denda RM210 juta juga dikurangkan kepada RM50 juta. Najib perlu menjalani hukuman penjara tambahan satu tahun jika gagal membayar denda.

Pada 28 Julai 2020, Najib disabit oleh Mahkamah Tinggi kerana salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah jenayah dalam kes SRC International, melibatkan dana berjumlah RM42 juta.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.