
Ong Kian Ming, bekas wakil rakyat Bangi itu berkata DAP tidak boleh terus bergantung kepada ketakutan orang bukan Melayu terhadap PAS untuk terus menambat hati kelompok itu.
Menurut bendahari DAP Selangor, sekiranya strategi itu terus digunakan, parti berkenaan “tidak jauh beza” dengan tindakan MCA yang sebelum ini sering menakut-nakutkan pengundi Cina supaya menyokong Barisan Nasional (BN) jika mahu ada wakil kaum itu dalam kerajaan.
“Amat penting untuk kepimpinan DAP untuk ingat ia tidak boleh hanya bergantung kepada ketakutan PAS untuk berkuasa bagi mengekalkan sokongannya dalam kalangan masyarakat bukan Melayu.
“Jika strategi ini terus dibawa ke depan, DAP tidak jauh beza dengan MCA,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pembentukan kerajaan perpaduan Pakatan Harapan (PH) dan BN pimpinan Anwar Ibrahim, tiada wakil dari MCA dilantik dalam Jemaah Menteri.
Ong yang juga bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri berkata komitmen terhadap strategi kelangsungan DAP tidak boleh diletakkan di atas bahu Setiausaha Agung Loke Siew Fook sahaja, namun perlu dipikul bersama oleh pemimpin tertinggi parti.
“Ramai penyokong DAP sangat bersabar dengan banyak perkembangan politik yang berlaku sejak penubuhan kerajaan perpaduan demi kestabilan politik.
“Tetapi kesabaran mereka semakin menipis. Sudah tiba masanya pimpinan DAP bersuara.”
Tegasnya, komitmen itu termasuk tuntutan untuk melaksanakan reformasi institusi untuk mencegah rasuah seperti dijanjikan dalam manifesto PH PRU15.
Janji itu katanya termasuk pelantikan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus dipersetujui jawatankuasa khas Parlimen dianggotai pelbagai parti.