
Menurut sumber, suspek lelaki dipercayai menggunakan dokumen invois bagi tujuan tuntutan palsu pembayaran program jabatan pada 2023 berjumlah kira-kira RM24,900.
“Suspek dipercayai menjadi perancang utama dan berpakat dengan pengarah syarikat terbabit untuk menggunakan invois mengandungi butir palsu, iaitu tuntutan pembekalan sedangkan pembekalan itu tidak pernah dilaksanakan bagi program dianjurkan tahun lepas.
“Seorang lagi suspek (wanita) membuat tuntutan palsu berkaitan perpindahan kira-kira RM6,000 kepada jabatannya,” katanya sambil menambah semua suspek ditahan ketika memberi keterangan di Pejabat SPRM Melaka pada 2.30 petang tadi.
Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad mengesahkan penahanan itu dan tidak menolak kemungkinan beberapa penjawat awam kedua-dua jabatan akan dipanggil memberi keterangan.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan kerana ketua jabatan sepatutnya berpegang kepada prinsip amanah dan akauntabiliti dalam membersihkan jabatan mereka daripada sebarang rasuah serta salah guna kuasa, bukannya menjadi “duri dalam daging” di jabatan masing-masing.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan suspek akan dibawa ke mahkamah esok bagi permohonan reman.