
Shafee menegaskan kuasa pengurniaan pengampunan merupakan hak baginda dan Seri Paduka mempunyai budi bicara mutlak.
“(Cheah) berkata, tidak, (Agong) mesti mendengar semua keempat-empat (ahli tidak tetap Lembaga Pengampunan).
“Beliau sepatutnya kembali belajar undang-undang kerana tidak memahami undang-undang atau Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada sidang media, di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Dalam kenyataan terdahulu, Cheah menyatakan kekecewaan mendalam terhadap keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan mengurangkan hukuman Najib, sambil mempersoal sama ada keputusan ihsan itu merompak keadilan di negara ini.
Katanya, menjadi pendirian Majlis Peguam bahawa di bawah Perlembagaan Persekutuan, tindakan pengampunan yang diberikan kepada Agong mesti dilakukan berdasarkan nasihat, dan Agong perlu menerima nasihat diberikan.
Cheah berkata, faktanya, Jabatan Perdana Menteri mengeluarkan kenyataan berkait pengurangan hukuman lebih menggambarkan peranan Eksekutif dalam perkara tersebut.