Mengaku guna perkataan aib, bekas Ahli Parlimen Kapar didenda RM100

Mengaku guna perkataan aib, bekas Ahli Parlimen Kapar didenda RM100

S Manikavasagam, 59, dituduh hantar mesej kurang sopan kepada seorang individu dengan tujuan bangkit kemarahan.

Bekas Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam mengaku bersalah di atas pertuduhan menggunakan perkataan mengaibkan, Januari lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Shah Alam selepas mengaku salah menggunakan perkataan mengaibkan, bulan lalu.

Hukuman itu dijatuhi Majistret Sasha Diana Sabtu sejurus tertuduh membuat pengakuan selepas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah juga mengarahkan tertuduh berusia 59 tahun dipenjara tiga hari jika gagal membayar denda dan tertuduh membayarnya.

Mengikut kertas pertuduhan bekas ketua PKR Cabang Kuala Selangor itu didapati berkelakuan kurang sopan terhadap seorang individu dengan menghantar mesej kurang sopan dengan tujuan membangkitkan kemarahan untuk mengganggu keamanan, lapor Harian Metro.

Justeru, beliau melakukan kesalahan yang yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil Kecil 1955 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100.

Berdasarkan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, sesiapa yang menggunakan perkataan kurang sopan, mengugut, aib atau menghina atau berkelakuan dengan cara mengugut atau menghina atau menampalkan atau melekatkan atau mempamerkan kertas bertulis atau lukisan kurang sopan mengugut aib atau menghina dengan tujuan membangkitkan kemarahan boleh didenda tidak melebihi RM100.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Subang Jaya pada 3.27 petang, 4 Jan lalu.

Terdahulu, ketika rayuan, Manikavasagam memaklumkan mahkamah beliau kini adalah pemegang kad orang kelainan upaya (OKU) penglihatan dan bersedia membayar denda yang dijatuhkan terhadapnya.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Beliau sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Kapar selama sepenggal, antara 2008 hingga 2013.

Bagaimanapun bekas wakil rakyat itu melepaskan jawatan dan keluar dari PKR pada April 2018 selepas keahliannya dalam parti itu digantung pada Ogos 2017.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.