
Anwar sebaliknya menggesa semua pihak sedar prinsip Perlembagaan Persekutuan dan akur dengan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mahukan semua pihak menghormati keputusan tersebut.
“Apa yang dititah Sultan Selangor ialah merujuk keputusan Mahkamah Persekutuan, Malaysia ini negara hukum maknanya patuh prinsip Perlembagaan jadi keputusan Mahkamah Persekutuan menurut Sultan Selangor perlu dihormati kerana Mahkamah Persekutuan tunduk kepada hukum dan semangat Perlembagaan.
“Tidak timbul meringankan atau meremehkan kedudukan Mahkamah Syariah,” kata Anwar berucap pada majlis Sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM).
Terdahulu, Sultan Sharafuddin mengingatkan semua pihak untuk menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan sambil bertitah kedudukan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang utama negara perlu sentiasa didukung rakyat.
Anwar menyambut baik titah Sultan Sharafuddin yang juga Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang menurutnya membantu meredakan suhu politik disebabkan keputusan mahkamah tersebut.
“Masyarakat Cina mungkin tak terasa tapi bagi masyarakat Melayu dan Islam ini jadi isu politik sangat hangat, cerca mencerca hingga menghina hakim dan kerajaan sebagainya,” katanya.
Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan petisyen difailkan peguam Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid untuk membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019 dengan alasan bercanggah Perlembagaan Persekutuan.
Panel sembilan hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa DUN tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.
Tengku Maimun dalam penghakimannya menegaskan petisyen itu tiada kena-mengena dengan isu kesucian agama Islam atau kedudukan Mahkamah Syariah di negara ini.