Umno dah tutup buku MN, kata Puad

Umno dah tutup buku MN, kata Puad

Pemimpin Umno itu tidak mahu pisang berbuah dua kali dan meminta PAS menyertai kerajaan perpaduan, jika mereka serius mahu bekerjasama.

Puad Zarkashi berkata, beliau secara peribadi akan membantah keras perbincangan untuk mengembalikan kerjasama Umno-PAS dalam Muafakat Nasional. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno membidas PAS terus menjaja “usaha menghidupkan” Muafakat Nasional (MN) yang didakwa bertujuan memecahkan kerjasama parti dalam kerajaan perpaduan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi berkata, beliau secara peribadi akan membantah keras perbincangan untuk mengembalikan MN yang digagaskan Umno-PAS ketika berada dalam blok pembangkang pasca PRU14 yang dimenangi Pakatan Harapan (PH).

Katanya, Umno telah “kenal hati budi” PAS dan lebih selesa bekerjasama dalam kerajaan perpaduan semasa yang boleh bertolak ansur dalam isu seperti cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming untuk menjadikan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco).

“Apabila Umno tolak, niat itu dibatalkan. Kalau PAS duduk dalam kerajaan, pastinya diam dan jadi pak turut.

“Tiada lagi perbincangan hidupkan MN, Umno sudah tutup buku dan pisang tidak berbuah dua kali. Itu hanya cerita untuk pecahkan kerjasama kerajaan perpaduan.

“Kalau PAS serius (untuk bekerjasama), sertai sahaja kerajaan perpaduan,” katanya kepada FMT.

Semalam, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin dilaporkan “yakin” ada perbincangan secara tidak langsung antara pimpinan parti itu dengan Umno bagi menghidupkan MN.

Bekas Adun Sanglang itu mendakwa ramai masih percaya pintu MN belum tertutup dan ada kesedaran dalam kalangan pemimpin Umno, rentetan pelbagai isu menyentuh sensitiviti orang Melayu Islam.

Antaranya membabitkan pembatalan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, cadangan Nga daripada DAP untuk Kampung Baru Cina di Selangor menjadi Tapak Warisan Dunia Unesco.

Sebelum ini, PAS dan Umno saling menuduh mengabaikan piagam MN yang diasaskan mereka hampir lima tahun lalu.

Hubungan dua parti itu tegang apabila PAS menyertai Perikatan Nasional pada 2020 yang diterajui Bersatu, sekali gus mahu parti serpihan Umno itu turut menyertai MN.

Umno membantah keras tindakan PAS itu kerana menganggap Bersatu pengkhianat yang berusaha “membunuhnya”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.