Amirudin tolak cita-cita PAS tawan Selangor

Amirudin tolak cita-cita PAS tawan Selangor

Menteri Besar Selangor turut memetik percubaan Barisan Nasional yang gagal merampas negeri itu daripada Pakatan Harapan sebelum ini.

Menteri besar Selangor Amirudin Shari berkata kini terserah kepada Pakatan Harapan untuk terus berusaha memastikan ia mengekalkan negeri itu pada PRU akan datang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Menteri besar Selangor Amirudin Shari telah menolak cita-cita PAS untuk merampas kuasa negeri itu pada PRU akan datang, sambil memetik cubaan Barisan Nasional (BN) yang gagal dulu.

Amirudin, yang juga ketua Pakatan Harapan Selangor, berkata BN, sekutunya yang berada dalam kerajaan perpaduan sekarang mempunyai cita-cita yang sama sebelum ini.

“Dulu masa kita lawan BN, BN pun cita- cita nak ambil, alhamdulillah kita dapat.

“Sekarang dengan BN dan PH (jadi sekutu) kita dapat ‘control’ (Selangor),” katanya selepas merasmikan “Forum Pemanasan Dunia Dan Alam Sekitar” di sini tadi..

PH dan BN kini memegang 34 daripada 56 kerusi DUN.

Amirudin berkata kini terserah kepada PH untuk terus berusaha bagi memastikan ia mengekalkan negeri itu pada pilihan raya akan datang.

Ahad lalu, Ketua Penerangan PAS Selangor Zurk Ahmad berkata parti itu berharap slogan “PAS for All” yang dibawa dua dekad lalu, akan membantunya merampas negeri itu daripada gabungan pemerintah.

Sementara itu, Amirudin juga memperkecilkan dakwaan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor bahawa Kedah akan menjadi negeri nombor satu menerima pelaburan asing jika Kuala Lumpur dan Selangor tidak wujud.

Sambil mencemuh dakwaan itu, beliau berharap negeri itu akan dapat berubah secara drastik.

“Mungkin ia jadi seperti New York dan Washington. Saya doakan semoga berjaya,” selorohnya.

Ahad lalu, Sanusi dipetik sebagai berkata, Kedah akan menjadi negeri nombor satu menerima pelaburan jika Kuala Lumpur dan Selangor tidak wujud.

“Tempat-tempat itu sudah maju dan majunya Selangor kerana adanya Kuala Lumpur. Kalau tiada dua tu, Kedah akan menjadi nombor satu dari aspek pelaburan,” katanya.

Ini bukan kali pertama Sanusi membuat kenyataan sedemikian kerana dakwaan sama pernah dibuat pada Julai tahun lalu yang mengatakan Kedah boleh menjadi lebih maju daripada Selangor jika terletak bersebelahan Kuala Lumpur.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.