
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, berkata langkah itu adalah pembaharuan ke arah jaminan perkhidmatan dan bagi memastikan kelancaran proses mahkamah.
“Pengerusi MPM akan diberi tempoh lantikan bukan hanya dua tahun tetapi terus ditambah dua tahun lagi, menjadikannya empat tahun.
“Ini mengurangkan penundaan proses pelantikan pengerusi MPM yang baharu,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan watikah penempatan semula secara kontrak pengerusi MPM di Wisma Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Terdahulu, Sim mengumumkan lima pengerusi MPM baharu iaitu Amrik Singh, Eswary Maree, Augustine Anthony, Paramalingam Doraisamy dan Syed Noh Said Nazir @ Syed Nadzir.
Beliau berkata, sebelum ini antara aduan sering diterima oleh pemegang taruh adalah lantikan pengerusi MPM terlalu singkat dan proses lantikan serta pembaharuan lantikan mengambil masa terlalu lama.
“Ia bukan sahaja melengahkan perjalanan mahkamah malah menyebabkan ketiadaan jaminan perkhidmatan yang munasabah,” katanya.
Katanya, ketika ini MPM mempunyai 20 pengerusi termasuk Yang di-Pertua, manakala dua lagi pengerusi baharu dalam proses lantikan.
Presiden Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM), Soh Thian Lai, berharap dengan pengumuman itu akan menyumbang kepada pemendekan tempoh prosiding dan pengurangan kes tertunggak.
“(Pelanjutan tempoh) akan membenarkan pengerusi yang sama mendengar dan memuktamadkan kes itu tanpa gangguan yang tidak wajar sekali gus memberikan keadilan kepada pemohon.
“Pelanjutan tempoh perkhidmatan juga akan membolehkan lebih ramai pengerusi, sekali gus mempercepatkan proses membuat keputusan, ” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Sim mengumumkan MPM bersama Bahagian Undang-undang Jabatan Perdana Menteri akan menganjurkan Kolokium Reformasi Perundangan dan Pengurusan MPM pada 28 dan 29 Feb ini.
“Laporan kolokium akan dijadikan panduan untuk pembaharuan dan penambahbaikan MPM,” katanya.
Beliau turut memaklumkan MPM sedang menaik taraf Sistem Perekodan Digital (SPD) dari segi kemudahan dan infrastruktur, bagi memudahkan serta mempercepatkan penyalinan transkrip.
“SPD ialah sistem perekodan audio, video dan penghasilan digital nota transkrip dalam versi bahasa Inggeris dan Melayu yang telah dibangunkan dan digunakan di MPM sejak 2013,” katanya.