Ringgit murah, Terengganu ambil kesempatan promosi tarik pelancong

Ringgit murah, Terengganu ambil kesempatan promosi tarik pelancong

Kerajaan Terengganu menyasarkan kedatangan 4.5 juta pelancong tahun ini, dan telah menyediakan pelbagai program dan aktiviti.

Terengganu yang terkenal dengan alam semulajadi menawan seperti Pulau Perhentian menyasarkan kedatangan kira-kira 4.5 juta pelancong tahun ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Kerajaan Terengganu mengambil langkah aktif atas nilai ringgit yang murah untuk menarik pelancong asing dari negara serantau.

Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Razali Idris berkata nilai ringgit yang murah menjadi daya penarik dalam mempromosi percutian ke Terengganu.

“Dalam keadaan duit kita murah ini kita ambil kesempatan juga buat promosi di Singapura dan Thailand supaya mereka datang ke Terengganu,” katanya kepada FMT.

Katanya, Terengganu yang terkenal dengan alam semulajadi yang menawan menyasarkan kedatangan kira-kira 4.5 juta pelancong tahun ini, dan pihak yang berkenaan telah menyediakan pelbagai program dan aktiviti misalnya pesta mandi hujan di Setiu Wetland — jauh daripada pencemaran udara.

“Kita ada 12 acara utama dan berpuluh acara sampingan lain,” katanya, dan menambah kerajaan negeri menumpukan kepada kekayaan alam semulajadi Terengganu.

“Kaya dengan pulau yang cantik, pantai yang cantik, kita ada taman geo, kita ada Tasik Kenyir, kita ada hutan tropika, kita ada air terjun. Memang fantastic Terengganu ini jadi kita sebarkan ke seluruh dunia.”

Razali menolak persepsi bahawa pentadbiran PAS menjejaskan kehadiran pelancong, khususnya yang bukan Islam.

“Pelancong ‘mat salleh’, dari Arab Saudi, China, dan India datang ramai. Mereka faham dan boleh ikut adab. Mereka sudah tahu Terengganu ini mesra muslim, jadi mereka sudah sedia termasuk dari segi pakaian sopan,” katanya.

Razali berkata pelancong tidak terpengaruh dengan persepsi negatif mengenai Terengganu, yang sengaja dicipta oleh pihak tertentu.

“Orang yang datang Terengganu mereka tahu macam mana dan mereka selesa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.