
Adun Taman Medan, Dr Afif Bahardin, berkata Bersatu ketika ini dalam “tempoh bertenang” kerana akan berlangsungnya pemilihan parti tahun ini.
“Bukan tempoh bulan madu tetapi tempoh bertenang sebab tahun ini akan diadakan pemilihan parti. Jadi, kita akan lihat bagaimana kita bergerak ke hadapan selepas itu,” katanya kepada FMT.
Semalam, seorang pemimpin akar umbi Bersatu Perak berkata, parti itu seperti tidak bergerak kerana pimpinan tertinggi masih “berbulan madu”.
Enggan dinamakan, pemimpin itu berkata walaupun rating Perikatan Nasional (PN) melonjak selepas PRU 2022 dan pada PRN enam negeri, “Bersatu kekal tidak bergerak berbanding PAS dari sudut keahlian, aktiviti, dan program, selain memperkukuh akar umbi.”
Katanya: “Dalam erti lain, parti tidak mengambil penuh peluang situasi itu, manakala PAS bergerak sangat pantas.” Bagaimanapun, beliau tidak menganggap PAS menjadi ancaman memandangkan parti berkenaan membuat apa yang perlu demi perkembangannya.
Dalam pada itu, Afif akui PAS parti stabil dan lebih banyak pengalaman berbanding Bersatu. Katanya, banyak perkara perlu dipelajari daripada PAS.
Bagaimanapun, beliau yakin lebih banyak ahli Umno dan PKR akan sertai Bersatu kerana melihat masa depan dalam PN.
Sementara itu, Ketua PN Negeri Sembilan, Mohamad Hanifah Abu Baker, berkata ada kesungguhan memperkukuh Bersatu susulan perhimpunan agung khas semalam, yang mana semua perwakilan serius dan sebulat suara meminda perlembagaan parti.
“Kita boleh lihat kehadiran perwakilan dan kesungguhan pemimpin dalam menangani isu.
“Kita mungkin ada cabaran tetapi melihat keadaan semasa kita amat serius dalam memperkasakan parti,” kata Adun Labu sambil menyifatkan pandangan negatif terhadap parti itu sebagai pendapat peribadi.
Ahli Parlimen Langkawi, Suhaimi Abdullah, pula berkata Bersatu sebenarnya banyak menumpukan isu semasa berbanding PAS yang dilihat lebih ke depan dalam isu agama.
Bagaimanapun, beliau percaya Bersatu masih dalam landasan betul.
“Dia berdasarkan kepada isu. Kadang-kadang isu membabitkan contoh tentang agama, sudah tentu PAS ke depan sebab dia banyak ulama dalam itu…sesetengah itu ada tok guru dan ustaz.
“Kalau isu berkenaan Perlembagaan, kita akan ambil bahagian,” katanya.