
“Kelas aset itu menyumbang RM19.7 bilion (30%) daripada jumlah pendapatan pelaburan KWSP, menghasilkan pulangan pelaburan (ROI) sebanyak 4.41%.
“Pendapatan lebih tinggi itu berbanding 2022 (RM18.2 bilion) sejajar saiz aset semakin besar dan disumbang khasnya oleh faedah dan keuntungan, masing-masing daripada bon dan sukuk,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, ekuiti menyumbang RM39.1 bilion, merangkumi 58% daripada jumlah pendapatan pelaburannya dengan ROI sebanyak 8.68%.
“Peningkatan pendapatan, lebih daripada RM27.1 bilion pada 2022, disumbang khasnya oleh keuntungan modal lebih tinggi ekoran keadaan pasaran lebih baik. Penurunan nilai ekuiti tersenarai bagi 2023 adalah minimum pada RM400 juta, berbanding RM3.43 bilion yang dicatatkan pada 2022. Pelaburan ekuiti swasta menjana ROI sebanyak 9.69%.”
Dana simpanan persaraan itu berkata, hartanah dan infrastrukturnya mencatatkan pendapatan RM6.03 bilion, meningkat 8% atau RM430 juta berbanding pendapatan 2022 sebanyak RM5.6 bilion, mencatatkan ROI sebanyak 5.04%.
“Pendapatan daripada instrumen pasaran wang ialah RM2.17 bilion, lebih dua kali ganda pendapatan dijana pada 2022 susulan baki pasaran wang lebih tinggi dan terjemahan mata wang asing, memberikan ROI sebanyak 4.93%.”
Sehingga akhir 2023, katanya, ia memiliki RM1.14 bilion aset pelaburan, di mana 62% dilaburkan dalam negara, menjana RM31.7 bilion dalam tempoh 12 bulan lalu, manakala aset global menjana RM35.3 bilion.
KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen 5.5% untuk simpanan konvensional dan 5.4% untuk akaun syariah, menjadikan agihan untuk 2023 berjumlah RM57.8 bilion.
Pengerusinya, Ahmad Badri Zahir berkata, kadar itu mewakili kenaikan dividen sebanyak 5.35% untuk simpanan konvensional dan 4.75% untuk akaun syariah yang diagihkan pada 2022.