
“Kalau pekebun kecil ada empat, tiga atau dua hektar, kita gabung semua ini untuk jadikan satu saiz katakan lebih kurang 10 hingga 15 hektar, kemudian barulah kita boleh gerakkan kerja,” katanya.
Johari berkata, secara perbandingan daripada 1.5 juta hektar tanaman kelapa sawit diuruskan pekebun kecil hanya lapan hingga 12 tan FFB sahaja dapat dihasilkan bagi satu hektar tanah berbanding ladang besar yang mampu mengeluarkan hampir 20 hingga 28 tan FFB dalam keluasan sama.
“Jadi kita nak kena didik pekebun kecil ini, terutamanya generasi baharu supaya mereka juga boleh mengeluarkan 18 tan bagi setiap satu hektar dan bukan lagi 10 tan,” katanya kepada Bernama.

Menurutnya, industri ini juga perlu meneroka melangkaui penghasilan minyak sawit mentah (MSM) dan memberi tumpuan kepada fasa hiliran pemprosesan MSM yang mampu menjana pendapatan berlipat kali ganda.
“Ini yang kita nak jaga, kita bukan nak eksport sawit mentah sahaja, kita nak mereka tumpu kepada proses hiliran juga yang boleh menokok nilai sampai tiga ke empat kali ganda.
“Ia bukan suatu yang mudah sebab kita tak buat, yang buat adalah sektor swasta, jadi kita kena susun strategi untuk menarik minat pelabur melabur dalam setiap rangkaian komoditi,” katanya.
Sektor komoditi menyumbang 5.2% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara dengan nilai eksport mencecah lebih RM160 bilion setahun dan menghasilkan lebih satu juta peluang pekerjaan.