Prestasi KWSP bagus walaupun berdepan cabaran, kata ahli ekonomi

Prestasi KWSP bagus walaupun berdepan cabaran, kata ahli ekonomi

Dividen 2023 lebih tinggi dijangka memuaskan kebanyakan ahli kerana ia lebih tinggi berbanding kadar faedah deposit tetap dan pulangan ASB.

Muhammed Abdul Khalid dan Geoffrey Williams percaya prestasi KWSP yang bagus ialah hasil usaha pasukan yang cekap dan strategi pengurusan portfolio yang baik.
PETALING JAYA:
Ahli ekonomi menyifatkan dividen lebih tinggi yang diumumkan oleh KWSP sebagai membanggakan, memandangkan pelaburannya berdepan tempoh mencabar tahun lepas, terutamanya dalam pasaran domestik.

Muhammed Abdul Khalid dan Geoffrey Williams menjangkakan kadar dividen ini memuaskan kebanyakan ahli kerana ia lebih tinggi berbanding kadar faedah deposit tetap dan pulangan saham Amanah Saham Bhd (ASB).

Awal hari ini, KWSP mengisytiharkan dividen sebanyak 5.5% untuk simpanan konvensional dan 5.4% untuk akaun syariah, kedua-duanya lebih tinggi berbanding tahun lepas. Pada 2022, simpanan konvensional memperoleh dividen sebanyak 5.35% dan akaun syariah 4.75%

Dengan ini, KWSP membayar sejumlah RM57.8 bilion kepada ahlinya, 13% lebih tinggi berbanding 2022, iaitu RM51.14 bilion.

Muhammed berkata, pembayaran dividen lebih tinggi untuk 2023 ialah hasil daripada prestasi KWSP yang lebih baik daripada pelaburan dalam pasaran maju. Kejayaan ini dapat dicapai kerana dana itu dikendalikan oleh pasukan yang cekap, tambahnya.

“Indeks pasaran maju ditutup lebih tinggi pada 21.6% tahun lepas. Pasaran domestik ditutup jauh lebih rendah pada -2.7% dan masih belum pulih ke tahap sebelum Covid 19,” katanya kepada FMT.

“Oleh itu, dividen lebih tinggi tidak mengejutkan memandangkan pendedahan global KWSP. Pulangannya lebih tinggi berbanding entiti yang banyak melabur atau semata-mata melabur dalam pasaran Malaysia.”

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP Ahmad Zulqarnain Onn berkata, kadar dividen lebih tinggi itu mungkin disebabkan prestasi baik pelaburan asingnya yang menyumbang 38% daripada jumlah asetnya.

“KWSP juga tidak mempunyai polisi rizab, bermakna dividen yang diisytiharkan adalah berdasarkan prestasi pasaran tahun semasa,” katanya.

“Walaupun ringgit lemah, pulangan KWSP terhad kerana ia melindung nilai pelaburannya dalam pendapatan tetap dan ekuiti. Jadi, sebarang forex yang diperoleh daripada pelaburan luar negara yang direalisasikan diimbangi oleh kegiatan lindung nilai.”

Beliau berkata, isu utama KWSP bukan pelaburan tetapi perlindungan sosial, memandangkan rakyat Malaysia secara amnya tidak mempunyai simpanan persaraan yang banyak.

Strategi pelaburan cemerlang

Williams berkata, prestasi KWSP mencerminkan strategi pelaburan cemerlang tahun lepas oleh pasukan bawah pimpinan bekas CEO Amir Hamzah Azizan, yang kini menteri kewangan II.

“Hasil dan pembayaran keseluruhan sangat kukuh dan menunjukkan bahawa strategi pengurusan portfolio yang baik melibatkan aset dalam dan luar negara boleh terus menunjukkan prestasi yang bagus walaupun dalam keadaan sukar,” katanya kepada FMT.

“Faktor utamanya ialah persekitaran KWSP yang lebih stabil tanpa pengeluaran, peningkatan keahlian dan caruman yang mengumpul dana boleh labur, dan peruntukan aset strategik baik terutamanya dalam pasaran luar negara yang meningkatkan pulangan.”

Malangnya, kata Williams, polisi pengeluaran KWSP sejak beberapa tahun lepas bermakna jutaan ahli tidak mendapat manfaat kerana simpanan mereka telah habis.

Beliau berkata, pasaran ekuiti domestik memperoleh pulangan yang sangat rendah, jadi strategi KWSP lebih aktif untuk mendapatkan pulangan yang lebih baik dalam pasaran tempatan, sambil menambah ia menunjukkan pemulihan sejak beberapa tahun lepas.

“Tahun ini dilihat tidak kurang mencabar berbanding tahun lepas, mungkin lebih baik. Jadi, kita boleh menjangkakan pulangan serupa untuk tahun ini, selagi KWSP bebas mengikuti strategi terbaiknya bagi jangka pendek dan jangka panjang tanpa campur tangan pihak luar,” katanya.

Beliau juga berkata, hasil kewangan yang kukuh menunjukkan bahawa jika dana super Malaysia baharu yang bersaiz serupa ditubuhkan dengan menggabungkan syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) berprestasi rendah, pulangannya boleh menyelesaikan masalah pencen perkhidmatan awam, malah dapat menyediakan pencen asas universal untuk semua.

“Jika pembayaran KWSP sebanyak RM57.8 bilion boleh dicapai daripada dana super Malaysia untuk tahun ini, ia cukup untuk membayar liabiliti penuh perkhidmatan awam dan menyediakan pencen bulanan RM900 bagi 80% pesara sektor swasta.

“Dana ini juga boleh dikendalikan oleh pengurus portfolio KWSP yang boleh memastikan pulangan sebagus ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.