
Sambil mengulangi pendirian kekal menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Azizi berkata beliau tidak terkesan dengan keputusan dibuat Bersatu menerusi perhimpunan agung khas semalam kerana itu hak parti.
“Namun pada pengamatan saya keputusan dibuat Bersatu itu membabitkan undang-undang besar dan perlu dirujuk ke mahkamah.
“Sekiranya ia diluluskan oleh RoS (JPPM), saya sendiri akan mencabar perkara itu di mahkamah.
“Saya hanya sokong (Anwar), bukan saya lompat parti dan apa yang saya lakukan demi pengundi saya di Gua Musang,” katanya menurut Harian Metro.
Semalam, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata selaras pindaan perlembagaan parti keahlian Ahli Parlimennya yang mengalih dan akan mengalih sokongan terbatal secara automatik.
Katanya, selepas pindaan itu dikuatkuasakan dan mendapat kelulusan JPPM, pihaknya akan menghantar surat kepada enam Ahli Parlimen terbabit yang mengalih sokongan supaya menyatakan pendirian mereka.
Pindaan itu susulan tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu mengalih sokongan kepada Anwar tahun lalu, selari Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, merujuk kepada Akta Anti Lompat Parti.
Sementara itu, Azizi menyifatkan tindakan dilakukan Bersatu sekadar mahu mengugut Ahli Parlimen yang lain supaya tidak menyokong Anwar.
“Sebenarnya ramai lagi Ahli Parlimen Bersatu yang sedang tunggu giliran untuk mengisytiharkan sokongan kepada Anwar dan mereka hanya menunggu masa sesuai.
“Malah, perkara ini juga sudah diketahui kepimpinan Bersatu menyebabkan pindaan perkara 10 dibuat kerana bimbang lebih ramai berbuat sedemikian,” katanya.
Selain Azizi, lima lagi Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Anwar adalah Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).