
Zulkafperi mendakwa pindaan perlembagaan Bersatu yang mewajibkan wakil rakyatnya mengosongkan kerusi jika menyokong parti lawan bercanggah dengan perlembagaan.
Menurutnya, pindaan itu tidak menepati Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kebebasan setiap Ahli Parlimen menyatakan sokongan dalam Dewan Rakyat.
“Fasal 10.4 (perlembagaan Bersatu) menyatakan Adun dan Ahli Parlimen yang tidak patuh arahan parti akan terhenti keahlian secara serta merta.
“Ini secara jelas mengikat dan menafikan kebebasan Ahli Parlimen untuk bertindak dalam Parlimen,” katanya kepada FMT.
Semalam, beliau dan dua lagi Ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan keengganan mereka mengosongkan kerusi susulan pindaan perlembagaan parti itu.
Pindaan itu diluluskan sebulat suara pada perhimpunan agung khas Bersatu semalam susulan tindakan enam Ahli Parlimennya menyatakan sokongan kepada Anwar setakat Januari.
Selain Zulkafperi, Ahli Parlimen Bersatu lain yang terlibat terdiri daripada Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang); Suhaili Abdul Rahman (Labuan); Zahari Kechik (Jeli); Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang); dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).