Duit hilang dalam akaun, TH sahkan pendeposit jadi mangsa scammer

Duit hilang dalam akaun, TH sahkan pendeposit jadi mangsa scammer

Lembaga Tabung Haji berkata pihaknya sudah membekukan akaun mangsa bagi mengelakkan berlaku kerugian yang lebih besar.

Lembaga Tabung Haji mengingatkan orang ramai untuk tidak membuka mana-mana mesej dan hantaran yang meragukan atau berkongsi data peribadi dengan mana-mana pihak.
PETALING JAYA:
Lembaga Tabung Haji (TH) mengesahkan seorang pendepositnya menjadi mangsa penipuan apabila sejumlah RM12,000 dipindahkan melalui lima transaksi dalam tempoh empat hari.

Dalam satu kenyataan, TH berkata pihaknya sudah mengambil langkah proaktif dengan membekukan akaun mangsa bagi mengelakkan berlaku kerugian yang lebih besar.

Menurutnya, langkah itu diambil tiga hari sebelum aduan dibuat selepas mengesan terdapat transaksi yang mencurigakan.

“TH juga sedang melakukan siasatan atas perkara ini. Mangsa juga telah membuat laporan polis dan TH akan sentiasa bekerjasama dengan polis dalam sebarang siasatan ke atas kes penipuan siber.

“Kita sekali lagi mengingatkan orang ramai untuk tidak membuka mana-mana mesej dan hantaran yang meragukan atau berkongsi data peribadi dengan mana-mana pihak,” kata kenyataan itu.

Media semalam melaporkan seorang bilal masjid mendakwa wang berjumlah RM12,000 dalam akaun Tabung Haji miliknya dipindah tanpa kebenaran pada Februari lalu.

Laporan dibuat mangsa pada 26 Februari lalu melibatkan kes wang simpanan Tabung Haji yang didakwa berkurangan.

Hasil siasatan polis mendapati, mangsa menerima satu pesanan ringkas dari TH menyatakan terdapat pemindahan wang membabitkan akaun miliknya ke akaun bank individu lain, iaitu sebanyak RM3,000 pada 20 Feb dan dua kali transaksi berjumlah RM1,000 dan RM2,000 pada 21 Feb.

Timbalan Ketua Polis Hulu Selangor Mohd Asri Mohd Venus mengesahkan mangsa membuat laporan pada 26 Februari lalu,

Selain itu, TH menegaskan, platform dalam talian THiJARI dibangunkan dengan ciri keselamatan yang menepati amalan terbaik di pasaran.

“Aplikasi THiJARI dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan antaranya nama pengguna, kata laluan yang dienkripsi, serta gambar keselamatan untuk memastikan aplikasi itu disambung ke laman web rasmi THiJARI.

“Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pendeposit boleh berhubung dengan THCC di talian 03-6207 1919,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.