
Katanya, kad media dikeluarkan Jabatan Penerangan semata-mata untuk memudahkan wartawan mengakses dan menghadiri acara rasmi kerajaan.
“Ini bukan seperti lesen perubatan (yang diperlukan doktor) untuk berlatih. (Kewartawanan) bukan profesion seperti peguam, arkitek atau doktor, di mana lesen diperlukan untuk bekerja dalam bidang itu,” katanya dalam majlis di Menara CelcomDigi di sini.
Fahmi turut mempertahankan semakan berterusan terhadap terma dan tempoh sah laku dua tahun untuk kad media.
“Ia bukan untuk menyekat kebebasan bersuara. Kad media bukan lesen yang diperlukan wartawan dan (tidak memilikinya) tidak melarang wartawan membuat laporan berita, justeru (ia) tidak menghalang kebebasan media.”
Beliau mendakwa menemui seorang wartawan dari organisasi media dalam talian memiliki kad media tamat tempoh semasa pelancaran kod etika terkini pengamal media.
Katanya, ia antara faktor sedang dipertimbangkan dalam semakan kad media.
“Ada beberapa aspek yang saya minta Jabatan Penerangan teliti. Ia masih dalam semakan dan harap kami dapat membuat pengumuman mengenai perkara ini tidak lama lagi,” katanya sambil menambah tempoh sah kad media dipendekkan belum dilaksanakan.
Semalam, Malaysiakini melaporkan kad media baharu untuk wartawan dari media dalam talian akan mempunyai tempoh sah lebih pendek. Satu Laporan kemudiannya memetik Jabatan Penerangan sebagai berkata, ia sedang menyemak SOP bagi pengeluaran kad media.
Kad media untuk wartawan tempatan biasanya sah selama dua tahun, manakala wartawan bekerja dengan organisasi media asing diberikan pas setahun.
Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia kemudiannya menggesa kerajaan bersikap telus mengenai kaedah semakan terma kad media.
Katanya, Kementerian Komunikasi perlu mengekalkan tempoh sah dua tahun untuk kad media, tanpa mengira wartawan bekerja untuk syarikat media tempatan mana.