Kerajaan lulus peruntukan tambahan RM100 juta selesai isu air Sabah

Kerajaan lulus peruntukan tambahan RM100 juta selesai isu air Sabah

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata permohonan penyelarasan semula kos kepada Kementerian Ekonomi itu berdasarkan kelulusan Jemaah Menteri.

Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata antara cabaran menyelesaikan air di Sabah adalah air tidak terhasil (NRW) yang agak tinggi iaitu lebih 50%.
KUALA LUMPUR:
Permohonan peruntukan tambahan RM100 juta bagi menyelesaikan isu air di Sabah mendapat kelulusan Kementerian Ekonomi, kata Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof.

Beliau berkata, permohonan penyelarasan semula kos kepada Kementerian Ekonomi itu berdasarkan kelulusan Jemaah Menteri.

Katanya, berdasarkan keputusan Jemaah Menteri tahun lalu, sebanyak RM300 juta diluluskan secara pinjaman untuk menyelesaikan isu bekalan air di Sabah.

“Sukacita dimaklumkan kelulusan sudah diperoleh daripada Kementerian Ekonomi,” katanya menjawab soalan Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dan Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Bung dan Isnaraissah bertanya mengenai penyelesaian isu air di Sabah.

Sementara itu, Fadillah berkata empat projek baharu juga sudah diluluskan bawah Rolling Plan keempat (RP4) Rancangan Malaysia (RMK) ke-12 berjumlah RM200 juta bagi penyelesaian jangka pendek isu bekalan air di Sabah.

Fadillah yang juga menteri peralihan tenaga dan transformasi air berkata, kerajaan juga sudah meluluskan peruntukan sebanyak RM163.55 juta untuk Sabah bawah RP4 bagi projek-projek sambungan.

Beliau berkata, salah satu cabaran menyelesaikan air di Sabah adalah air tidak terhasil (NRW) yang agak tinggi iaitu lebih 50%.

Katanya, keutamaannya adalah untuk menggantikan paip yang mana pihaknya akan berikan secara geran dan melaksanakan secara bersama dengan Sabah.

“Ini diharapkan dapat mengurangkan NRW, tapi pada masa sama, Sabah itu sendiri kena ambil tindakan untuk mengurangkan NRW khususnya air yang dicuri dari sumber bekalan air Sabah sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.