
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Shuhaily Zain berkata, pihaknya telah menghantar kertas siasatan membabitkan KK Mart dan Xin Jiang Chang kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dan sedang menunggu arahan lanjut.
Beliau berkata empat kertas siasatan telah dibuka selepas 143 laporan polis dibuat di seluruh negara berhubung isu itu, dengan 174 saksi dipanggil untuk memberikan keterangan.
“Sebaik kita mendapat arahan, kita akan memaklumkan media,” katanya pada sidang media hari ini.
Tambahnya, tiga lagi kertas siasatan, melibatkan kes di Negeri Sembilan, Kelantan dan Sabah, telah lengkap dengan penjenayah telah didakwa.
Shuhaily turut menggesa orang ramai supaya membenarkan polis menjalankan tugas mereka dan mengelak daripada mengambil tindakan sendiri.
“Kita telah menjalankan siasatan. Kita telah mengambil tindakan mengikut undang-undang. Biar pihak berkuasa uruskan,” katanya pada sidang media hari ini.
“Jika anda mengambil tindakan sendiri, ia tidak akan meredakan keadaan tetapi memburukkannya.”
Shuhaily turut menasihati mereka yang mungkin membeli stoking itu dari KK Mart atau tempat lain supaya menyerahkannya kepada pihak berkuasa dan membuat laporan polis.
Kontroversi itu timbul selepas gambar stoking itu muncul di media sosial Rabu lalu, menimbulkan kemarahan masyarakat Islam dan mencetuskan gesaan untuk memboikot.
Pada Sabtu, KK Mart memohon maaf dan menyatakan kekesalan atas kejadian itu, sambil berkata ia mendapat bekalan stoking itu daripada Xin Jian Chang Sdn Bhd, yang sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang kerana kecuaian terhadap pembekalnya di China.
Xin Jian Chang berkata apabila ia menghubungi pembekal untuk mendapatkan penjelasan, pembekal mengakui stoking itu dimasukkan ke dalam stok yang dibeli “secara tidak sengaja”.
Majlis Perbandaran Batu Pahat kemudiannya membatalkan lesen perniagaan kilang Xin Jian Chang di Sri Gading dan mengarahkan penutupannya.