Bunuh isteri: Hukuman mati nelayan diganti penjara 33 tahun

Bunuh isteri: Hukuman mati nelayan diganti penjara 33 tahun

Abdul Razak Dalek, 71, telah dipenjara 22 tahun dan enam bulan.

Mahkamah Persekutuan ganti hukuman mati terhadap Abdul Razak Dalek kepada penjara 33 tahun.
PUTRAJAYA:
Seorang nelayan terlepas hukuman mati selepas Mahkamah Persekutuan menggantikannya dengan hukuman penjara 33 tahun kerana membunuh isterinya, 23 tahun lalu.

Panel tiga hakim terdiri daripada Zabariah Mohd Yusof, Nordin Hassan, dan Datuk Abu Bakar Jais, mengetepikan hukuman gantung diputuskan terhadap Abdul Razak Dalek, 71, selepas membenarkan permohonan semakannya di bawah Semakan Hukuman Mati dan Penjara Seumur Hidup (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan), Akta 2023 yang berkuat kuasa tahun lalu.

Razak diperintahkan menjalani hukuman dari tarikh dia ditangkap pada 3 Sept 2001.

Bapa kepada dua anak dan lima cucu itu, telah dipenjara selama 22 tahun dan enam bulan.

Razak, melalui peguamnya Baljit Singh Sidhu telah merayu kepada mahkamah, untuk memberikan beliau peluang kedua dan meringankan hukuman mati dijatuhkan ke atasnya kepada hukuman penjara bagi membolehkan lelaki itu menghabiskan masa bersama anak-anaknya.

Baljit berkata, kejadian tersebut berlaku selepas isteri Razak meninggalkannya.

Razak didapati bersalah Mahkamah Tinggi di Johor Bahru pada 2006 kerana membunuh Rozita Haron, 39, yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah hospital. Dia melakukan kesalahan itu di rumah abangnya di Parit Pecah, Parit Jawa, Muar pada 3 Sept 2001.

Pada 2009, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum kalah dalam rayuannya selepas ditolak Mahkamah Persekutuan pada 2010.

Baljit Singh memberitahu media bahawa Razak dijangka dibebaskan hari ini, kerana pengurangan satu pertiga daripada jumlah hukuman.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Aznee Salmie Ahmad telah meminta mahkamah mengekalkan hukuman mati dengan menyatakan bahawa Razak telah menikam isterinya dengan pisau dan ia merupakan satu kejadian tragis.

Beliau berkata, jika mahkamah memutuskan untuk meringankan hukuman mati kepada hukuman penjara, maka hukuman penjara antara 35 tahun hingga 40 tahun perlu dikenakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.