DOSM sangkal dakwaan ‘lapuk’, pertahan kaedah bangun sistem Padu

DOSM sangkal dakwaan ‘lapuk’, pertahan kaedah bangun sistem Padu

Teknologi terkini, kaedah, dan reka bentuk merupakan teras kepada pembangunan sistem Padu.

Padu bukan hanya medium pengemaskinian data malah melaksanakan fungsi berbentuk analitikal, menurut DOSM.
PETALING JAYA:
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyangkal dakwaan mengatakan Pangkalan Data Utama (Padu) dibina dengan kaedah “lapuk”.

Pejabat Ketua Perangkawan berkata teknologi terkini, kaedah, dan reka bentuk merupakan teras kepada pembangunan sistem Padu “yang berpaksi kepada kebijaksanaan dan ketelitian”

Katanya lagi, Padu bukan hanya medium pengemaskinian data malah melaksanakan fungsi berbentuk analitikal, sehubungan itu reka bentuk yang dibangunkan Padu adalah yang “terbaik, selamat, dan berkesan”.

“Justeru itu, kenyataan menyatakan pembangunan Padu dibangunkan menggunakan kaedah lapuk adalah semberono,” katanya dalam kenyataan.

“Perincian sistem dan arkitektur Padu juga tidak didedahkan kepada umum, maka kenyataan bahawa kaedah pembangunan sistem Padu ini lapuk adalah tidak wajar dan tidak berhemah.”

Terdahulu, pakar keselamatan siber, Fong Choong Fook, mendakwa Padu dibina dengan kaedah “lapuk” yang boleh menimbulkan keraguan mengenai datanya.

Pengerusi eksekutif LGMS Bhd itu berkata organisasi moden hari ini menggunakan “API gateway” (laluan API) untuk mengakses data yang tersebar, berbanding membina “duplicated centralized database” (pangkalan data berpusat pendua).

Fong berkata pendekatan lama dikhuatiri bukan sahaja akan menyebabkan penduaan data (data duplication), tetapi juga ketepatan masa (timeliness), integriti, dan ketepatannya dipersoalkan.

DOSM berkata dalam membangunkan sistem Padu yang akan menjadi rujukan tunggal kerajaan, objektif yang ingin dicapai meliputi dimensi pengintegrasian data daripada pelbagai sumber, analitik, dan keselamatan.

Katanya lagi, terdapat elemen yang perlu dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira ketersediaan piawaian data, struktur, liputan, konsep dan definisi yang digunakan di pelbagai agensi pembekal data.

“Seterusnya, aspek pemetaan dan pendataan data perlu dilaksanakan,” katanya.

DOSM juga berkata penggunaan API antara mekanisme penting dalam sistem Padu, “dan akan terus ditingkatkan berdasarkan dinamika, kompleksiti dan ketersediaan pangkalan data di pelbagai agensi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.