Dakwa tahanan didera, HRW belum sedia berjumpa, kata Saifuddin

Dakwa tahanan didera, HRW belum sedia berjumpa, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri berkata beliau sudah menghantar surat dan menjemput HRW untuk berjumpa tetapi NGO itu belum bersedia.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau menunggu untuk mengadakan pertemuan dengan Human Rights Watch berhubung dakwaan berlakunya penderaan dan kematian di depoh tahanan Jabatan Imigresen. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail mendakwa Human Rights Watch (HRW) masih belum bersedia untuk bertemu dengan beliau berhubung dakwaan berlakunya penderaan dan kematian di depoh tahanan Jabatan Imigresen.

Saifuddin berkata HRW membuat laporan berhubung perkara itu dan susulan itu beliau telah menghantar surat dan mempelawa HRW untuk berjumpa.

“Bagaimanapun, sehingga hari ini HRW masih menyatakan ketidaksediaan untuk berjumpa saya berhubung dapatan yang dilaporkan dalam laporan mereka.

“Saya masih menunggu kerana saya faham ‘engagement’ seperti ini penting,” kata katanya pada sidang media khas di pejabatnya.

Saifuddin berkata walaupun NGO itu masih belum bersedia, namun beliau masih terbuka untuk mengadakan pertemuan pada bila-bila masa.

“Jadi saya masih lagi membuka (peluang untuk) dan memberi masa kepada mereka sehingga mereka betul-betul bersedia.

“Saya (akan) meneliti satu persatu butiran-butiran yang mereka masukkan di dalam laporan. Kalau mereka ada maklumat yang saya terlepas pandang, jadi saya perlukan kerjasama mereka,” katanya.

Laporan HRW yang dikeluarkan sebelum ini mendakwa tahanan dalam depoh Imigresen diberikan layanan buruk dan berlaku pencabulan hak asasi manusia ke atas mereka.

Laporan itu berdasarkan temu bual dijalankan terhadap 43 individu yang dikatakan pernah ditahan di depoh imigresen.

Laporan itu juga mendakwa, kanak-kanak sering menghadapi penderaan yang sama seperti tahanan dewasa – termasuk penafian rawatan perubatan, makanan tidak mencukupi dan layanan buruk.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata permohonan Visa Dengan Rujukan (VDR) pekerja asing yang tamat pada 31 Mac ini akan dilanjutkan sehingga 21 April ini.

Beliau berkata pelanjutan itu mengambil kira jumlah kuota aktif yang belum memohon VDR sebanyak 132,000.

“Pelanjutan ini akan memberi peluang kepada majikan yang sahih untuk menyelesaikan proses bagi mendapatkan surat kelulusan VDR ini dengan segera.

“Dijangkakan sejumlah 105,600 pekerja akan diberi surat kelulusan VDR daripada 132,000 kuota yang masih belum memohon surat kelulusan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.