
“HRW belum boleh lagi berjumpa dengan menteri dalam negeri tetapi kami sering berkomunikasi mengenai kesediaan kami berbuat demikian.
“Kami menunggu peluang untuk bertemu dengan menteri selepas cuti Hari Raya,” kata Lau kepada FMT.
Beliau berkata, pejabat Saifuddin ada berhubung dengan pihaknya pada Isnin lalu untuk mengaturkan pertemuan hari ini.
“Bagaimanapun, kami tidak dapat dan memohon tarikh alternatif pada April, dan mengulangi kesediaan kami untuk bertemu,” katanya tanpa mengulas mengapa pertemuan hari ini tidak dapat diteruskan.
Terdahulu hari ini, Saifuddin berkata HRW masih belum bersedia untuk bertemu dengan beliau berhubung dakwaan berlakunya penderaan dan kematian di depoh tahanan Jabatan Imigresen.
Katanya, beliau menghantar surat dan mempelawa HRW untuk berjumpa tetapi sehingga hari ini HRW masih menyatakan ketidaksediaan untuk berjumpa.
Pada bulan lalu, HRW mengeluarkan satu laporan mendakwa tahanan dalam depoh Imigresen diberikan layanan buruk dan berlaku pencabulan hak asasi manusia ke atas mereka.
Laporan itu berdasarkan temu bual dijalankan terhadap 43 individu yang dikatakan pernah ditahan di depoh imigresen.
Laporan itu juga mendakwa, kanak-kanak sering menghadapi penderaan yang sama seperti tahanan dewasa – termasuk penafian rawatan perubatan, makanan tidak mencukupi dan layanan buruk.