MPM perlu pembaharuan, kata presiden MMA

MPM perlu pembaharuan, kata presiden MMA

Dr Azizan Abdul Aziz berkata jawatan presiden dan sekurangnya 80% anggota majlis itu perlu dipilih, bukannya dilantik.

Presiden MMA Dr Azizan Abdul Aziz pemilih Majlis Perubatan Malaysia perlu ditukar kepada pengundian digital kerana hanya 10% daripada 70,000 ahlinya terbabit dalam pengundian. (Gambar MMA)
PETALING JAYA:
Kerajaan perlu melakukan pembaharuan terhadap Majlis Perubatan Malaysia (MPM) dan sistem kesihatan, kata presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Azizan Abdul Aziz.

Azizan berkata, sementara Akta Perubatan dipinda untuk mengiktiraf beberapa program, Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, harus mengambil peluang ini untuk membuat semakan yang tuntas terhadap akta itu dan menerapkan pembaharuan yang bermakna, bermula dengan MPM.

“Kedudukan presiden MPM sepatutnya diputuskan melalui pemilihan, bukan melalui pelantikan. Demikian juga, komposisi majlis sepatutnya terdiri daripada sekurang-kurangnya 80% wakil yang dipilih,” katanya dalam kenyataan.

Azizan berkata sistem pengundian MPM yang masih menggunakan undi pos sudah ketinggalan zaman dan sepatutnya dipermudahkan melalui penggunaan sistem digital, selari dengan agenda transformasi kesihatan digital kementerian.

“Ketika ini, kesulitan untuk mengundi menyebabkan ahli kurang berminat untuk mengundi.

“Hanya 10% daripada hampir 70,000 pengamal perubatan yang berdaftar mengundi setiap kali pemilihan diadakan,” katanya.

MPM diberi tanggungjawab dengan kuasa untuk memastikan profesional perubatan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pesakit dan negara.

Ia juga memperkenalkan kod kelakuan profesional, menyediakan kayu ukuran bagi kelakuan dan tingkah laku doktor dalam amalan klinikal mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.