Bekas jurujual diberi RM3.8 juta dalam saman terhadap hospital

Bekas jurujual diberi RM3.8 juta dalam saman terhadap hospital

Kerajaan mengakui liabiliti pada 2021 tetapi membuat rayuan terhadap kuantum.

Mahkamah diberitahu Shuhazani Shoib tidak diberi rawatan secukupnya ketika mengalami tekanan darah tinggi ketika hakim, tujuh tahun lalu.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi memberikan RM3.8 juta kepada seorang bekas jurujual sebagai ganti rugi dalam saman kecuaian perubatan terhadap sebuah hospital kerajaan, kerana doktor tidak memberikan rawatan secukupnya dan tertangguh apabila beliau mengalami tekanan darah tinggi ketika hamil, tujuh tahun lalu.

Akibatnya, bayi Shuhazani Shoib meninggal dunia di dalam rahim di Hospital Kuala Lumpur.

Shuhazani, yang ketika itu berusia 34 tahun, mendapat sindrom HELLP (hemolisis, enzim hati tinggi, dan bilangan platelet rendah) lengkap dengan kegagalan buah pinggang akut dan pendarahan otak.

Beliau kini tidak boleh berjalan dan mengalami gangguan kognitif. Shuhazani memfailkan saman itu pada 2020 menerusi suaminya, Irwan Idris.

Pada 2021, Putrajaya mengakui liabiliti atas kegagalan menjalankan penjagaan yang munasabah semasa plaintif hamil.

Tahun lepas, Hakim Ahmad Shahrir Salleh memerintahkan pampasan sebanyak RM3.8 juta, termasuk RM300,000 sebagai ganti rugi teruk. Beliau turut memerintahkan kerajaan membayar RM278,000 kepada Shuhazani sebagai kos.

Shahrir, yang menerbitkan penghakiman bertulis minggu lepas, berkata Shuhazani akan memerlukan bantuan berterusan daripada orang lain sepanjang hayatnya.

Shuhazani dan Irwan bernikah ketika wanita itu berusia 33 tahun pada 2015, dan mengandung pada tahun berikutnya.

Ketika minggu ke-33 kehamilan, wanita itu dikesan menghidap preeclampsia (tekanan darah tinggi semasa mengandung).

Keadaannya “tidak diurus dengan betul”, dan walaupun diagnosis yang betul telah dibuat, rawatan yang diterimanya tidak mencukupi dan keadaannya merosot.

Beliau mengalami komplikasi, termasuk sindrom HELLP lengkap, kegagalan buah pinggang akut, dan pendarahan di otak.

Kerajaan telah membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap kuantum.

Karthi Kanthabalan dan Abdul Azeem Seeni Muthu Ambalam mewakili Shuhazani selaku peguam, manakala peguam kanan persekutuan, Nik Mohd Noor Nik Kar, dan peguam persekutuan, Adiba Iman Hassan, mewakili kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.