
Menerusi slip keputusan dikongsi Pang, ahli DAP itu menduduki UPSR di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) On Pong, Hulu Langat, Selangor manakala untuk SPM di Sekolah Menengah Chung Hua Port Dickson, Negeri Sembilan.
Beliau mendedahkan slip itu menerusi media sosialnya untuk menjawab cabaran Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari yang meminta Pang mendedahkan di mana beliau bersekolah dan menduduki dua peperiksaan berkenaan.
“Yang Berhormat Pasir Mas bertanya tentang UPSR dan SPM saya. Inilah jawapannya,” katanya.
Fadhli dalam maklum balasnya segera di Facebook berkata menerusi jawapan diberikan Pang itu, ahli DAP berkenaan pada peringkat rendah bersekolah di sekolah vernakular.
“Manakala SPM di Sek Men Chung Hua Port Dickson Negeri Sembilan. Kurang pasti sekolah ini vernakular atau tidak kerana laman web rasminya (https://smchpd.edu.my) bukan dalam bahasa kebangsaan.
“Perbetulkan saya jika fakta ini kurang tepat, saya bersumberkan maklumat-maklumat diberikan di dalam media sosial sahaja. Terima kasih calon PH. Pengundi-pengundi boleh buat penilaian sebaiknya,” katanya.
Sebelum ini, latar belakang pendidikan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut yang juga pemangku ketua Bersatu Bahagian Hulu Selangor itu dijadikan isu kerana poster profil calonnya mencatat memiliki diploma dan sarjana tanpa ijazah.
Selain Pang dan Khairul, PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan juga membabitkan Hafizah Zainudin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (bebas).