Penghantar Grab terharu capai impian ziarah kubur ayah di Makkah

Penghantar Grab terharu capai impian ziarah kubur ayah di Makkah

Muhammad Faizal Zainor Abidin yang menang Cabaran Ramadan-UmrahGrab berhasrat membawa isteri menunaikan umrah dan menziarah kubur ayahnya yang meninggal dunia sebelum mereka berkahwin.

Pemenang Cabaran Ramadan-UmrahGrab bersama Pengarah Operasi dan Mobiliti Negara Grab Malaysia Rashid Shukor (lima dari kiri) dan Ketua Kualiti Platform dan Penglibatan Grab Malaysia Nur Zafirah Azahar (tengah).
PETALING JAYA:
Hasrat seorang rakan-penghantar Grab dari Pulau Pinang untuk membawa isteri menziarah kubur bapanya di Makkah akhirnya tercapai apabila menjadi antara pemenang Cabaran Ramadan-UmrahGrab.

Muhammad Faizal Zainor Abidin yang mula menjadi rakan-penghantar Grab sejak 2021 berkata beliau telah lama menyimpan keinginan menunaikan umrah dan pada masa sama melawat kubur bapanya yang meninggal dunia sebelum dia mendirikan rumah tangga.

“Saya telah lama berhasrat membawa keluarga melawat kubur bapa dan berkongsi kisah hidup perkahwinan saya serta keluarga.

“Isteri teguh di belakang saya terutama dalam situasi sukar…saya hilang pekerjaan ketika pandemik tetapi pendiriannya menyatukan kami untuk terus bergerak demi tiga anak,” katanya selepas menerima hadiah sempena program Cabaran Ramadan-UmrahGrab.

Faizal menerima pakej umrah selama 12 hari 10 malam bersama isterinya yang meliputi tiket penerbangan, penginapan di Makkah dan Madinah, makan minum, buku panduan serta kursus umrah selain perkhidmatan mutawif.

Muhammad Faizal Zainor Abidin dan isterinya pada majlis penyampaian hadiah pakej umrah 12 hari 10 malam tajaan Grab Malaysia.

Selain Faizal, rakan-pemandu dan penghantar Grab yang memenangi pakej umrah itu adalah Azzmeir Yunadi Mazlan, Muhamad Edzuan Mohd Nasir, Muhammad Khairul Adib Mohd Rashid dan Nur Fadzliana Mohammad Ali.

Bagi kategori pengguna Grab pula, pemenangnya terdiri daripada Farah Nabilah Mohamad Yusof, Mohammad Iqbal Abdul Hamid, Nor Azdan Nordin, Nur Hikmah Hasan dan Ridzuan Azmi.

Pengguna setia Grab, Farah Nabilah Mohamad Yusof dan adiknya gembira dapat menghadiahkan pakej umrah untuk ibu mereka.

Farah yang menjadi pelanggan Grab sejak 2016 mendedikasikannya sebagai hadiah kepada ibunya sempena ulang tahun ke-55 dan pada masa sama membalas pengorbanan membesarkan mereka adik beradik.

“Ibu sentiasa mengutamakan keperluan kami adik beradik,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Operasi dan Mobiliti Negara Grab Malaysia Rashid Shukor berkata pihaknya terharu dan tersentuh dengan penyertaan hampir 539,000 pengguna dan rakan-pemandu serta penghantar Grab sepanjang Cabaran Ramadan-UmrahGrab yang bertujuan memupuk semangat kemasyarakatan.

“Kami memahami kepentingan menunaikan ibadat umrah untuk umat Islam di Malaysia dan kami teruja dapat membantu mencapai impian berkenaan.

“Pertandingan ini bersama inisiatif lain di bawah kempen Kebaikan Dalam Setiap Pesanan adalah lanjutan daripada usaha kami untuk memperjuangkan kepelbagaian dan kebolehcapaian, mengiktiraf pelbagai impian dan aspirasi semua rakyat Malaysia,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.