
“(Perbincangan) secara tak rasmi ada, tapi secara rasmi belum lagi. Kita sebenarnya mempunyai hubungan agak rapat dengan beberapa pemimpin tertinggi yang aktif di Sabah ini, khususnya GRS.
“Saya fikir anda semua sudah tahu latar belakang saya yang sebelum ini dari Umno, kemudian ke Bersatu. Bersatu Sabah yang kini dikenali sebagai GRS, jadi mereka sebenarnya orang yang sama,” katanya menurut Harian Metro selepas Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Peringkat Sabah di Kota Kinabalu.
Justeru, beliau menyifatkan pemimpin GRS sebagai “rakan lama yang kita berjuang, menang dan hadapi cabaran bersama”.
“Jadi, adalah wajar untuk kita cuba bercakap dengan mereka. Terpulang kepada mereka untuk mempertimbangkan kami (sekiranya) ada nilai untuk mereka, mungkin kami ada sesuatu yang boleh disumbangkan.
“Kami tidak mempunyai niat lain, selain menyumbangkan khidmat kepada rakyat Sabah dan juga Malaysia secara keseluruhannya. Tidak ada gerakan politik, kita tidak mahu rebut kuasa, itu semua tidak penting,” katanya sambil menambah Pejuang berpegang teguh kepada prinsipnya.
Mengenai persediaan menghadapi PRN Sabah akan datang, Mukhriz berkata, pihaknya bermuhasabah diri selepas kekalahan pada PRU15 lalu untuk merangka strategi lebih berkesan.
Katanya, Pejuang mungkin memfokuskan kawasan ia mempunyai sokongan dan nilai tambah untuk dibawakan berbanding bertanding di banyak kerusi.
“Dengan sumber terhad yang ada pada kita, jadi kita tidak perlu bergerak sebagai sebuah parti besar. Kita juga tahu bahawa kita bukanlah besar sangat. Tapi saya rasa penting juga untuk kita pertimbangkan potensi bekerjasama dengan pihak lain.
“Gandingan kekuatan antara parti politik lain ini, saya ingat boleh menjadi satu peluang bagi kita menyatukan sokongan yang ada pada rakyat.”