Calon bebas dakwa terima desakan tarik diri PRK KKB

Calon bebas dakwa terima desakan tarik diri PRK KKB

Nyau Ke Xin berkata beliau tidak terganggu dengan panggilan telefon dari individu tidak dikenali yang memintanya tidak membuang masa dan wang.

Menang atau kalah, calon bebas Nyau Ke Xin berkata beliau akan terus berkhidmat dan membantu penduduk Kuala Kubu Baharu.
KUALA KUBU BHARU:
Calon bebas, Nyau Ke Xin mendakwa ada beberapa pihak yang tidak dikenali cuba memberi tekanan kepada beliau untuk menarik diri daripada PRK Kuala Kubu Baharu.

Nyau berkata beliau menerima banyak panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang menggesa beliau menarik diri, dua hari selepas penamaan calon pada 27 April.

Seorang pemanggil lelaki memberitahu Nyau, beliau pasti akan kalah dan hanya membuang masa apabila terus berkempen. Nyau berkata, beliau juga dituduh mahu memecahkan undi.

“Lelaki itu memberitahu saya jangan membazirkan wang. Dia juga berkata saya tidak mendapat apa-apa faedah dengan bertanding di PRK ini,” kata Nyau kepada FMT.

Seorang lagi wanita yang menghubungi Nyau memberitahunya ‘untuk duduk di rumah’ kerana beliau tiada wang untuk berkempen. “Pemanggil itu berkata ‘kami besar, tidak mungkin kamu akan menang’. Wanita itu juga meminta saya berfikir panjang sebelum meletakkan telefon.”

Nyau berkata, semua pemanggil itu ‘sangat sopan’ dan tiada yang mengancam beliau.

Katanya, beliau tidak terganggu dengan panggilan telefon itu dan lebih bersemangat untuk bekerja keras sepanjang kempen. “Menang atau kalah, saya tetap akan membantu dan berkhidmat kepada penduduk Kuala Kubu Baharu.”

Nyau juga menafikan beliau menjadi proksi sebuah parti politik dan menegaskan keputusannya untuk bertanding kerana mahu menawarkan alternatif kepada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

“Tujuan saya adalah menyediakan ruang untuk pengundi menyatakan perasaan tidak puas hati mereka dengan keadaan semasa,” katanya.

Nyau bersaing dengan calon PH Pang Sock Tao, calon PN Khairul Azhari Saut, dan Hafizah Zainuddin dari Parti Rakyat Malaysia (PRM).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong daripada PH akibat barah pada 21 Mac lalu.

Hari pengundian ditetapkan pada 11 Mei ini manakala 7 Mei untuk undi awal.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.