Kerajaan tekan penggunaan AI perkukuh kawalan sempadan

Kerajaan tekan penggunaan AI perkukuh kawalan sempadan

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasutiom berkata persekitaran terjamin dan selamat penting dalam memacu negara mapan.

Menteri Saifuddin Nasution (dua dari kiri) dan Khaled Nordin (kanan) mengunjungi sebuah reruai ketika meninjau Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia ke-18.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan beri penekanan khusus pada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) terkini bagi memperkukuh kawalan sempadan, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution.

Katanya, langkah itu selaras visi Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam memacu Malaysia menjadi negara yang mampan, dan berpendapatan tinggi, dengan persekitaran yang terjamin dan selamat.

“Ancaman seperti serangan siber, radikalisme, dan ekstremisme perlu ditangani dengan sebaiknya dalam menjaga keharmonian dan kelestarian negara,” katanya pada sidang media bersama Menteri Pertahanan Khaled Nordin.

Menurut Saifuddin lagi, penubuhan Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) satu lagi langkah bagi memperkukuhkan kawalan keselamatan.

Anwar pada Khamis lepas mengarahkan MCBA melaksanakan tugasan berkuat kuasa serta-merta.

Walaupun undang-undang berkaitan agensi berkenaan belum dibentangkan di Parlimen, agensi yang berkenaan seperti imigresen dan kastam boleh melaksanakan tugasan.

Menurut Saifuddin, beliau bercadang membentangkan rang undang-undang itu di Parlimen pada Julai, selepas disemak Jabatan Peguam Negara.

Terdahulu, kedua-kedua menteri meninjau Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia ke-18 dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia, yang akan berlangsung dari 6 hingga 9 Mei.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.