Kenaikan gaji penjawat awam muktamad, kata Anwar

Kenaikan gaji penjawat awam muktamad, kata Anwar

Bagaimanapun Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata perincian mengenainya perlu melalui pelbagai proses termasuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu.

Anwar Ibrahim yang juga menteri kewangan menjawab pertikaian dibangkitkan segelintir pihak yang mendakwa pengumuman kenaikan gaji penjawat awam itu tidak lengkap. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kenaikan gaji lebih 13% untuk penjawat awam muktamad, menjawab pertikaian dibangkitkan segelintir pihak yang mendakwa pengumuman itu tidak lengkap termasuk belum dibentangkan dalam Belanjawan 2025.

Anwar yang juga menteri kewangan bagaimanapun berkata perincian kenaikan gaji penjawat awam menerusi kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) perlu melalui pelbagai proses termasuk dibentangkan kepada Jemaah Menteri terlebih dahulu.

“Ada orang cabar kenapa tak umum secara terperinci.. saya kata tak boleh sebab ada prosesnya.

“Prinsipnya kita boleh umum tapi yang kecil-kecil itu kita kena bentangkan dulu pada Jemaah Menteri.. dah ada yang pertikai maknanya belum muktamad la tu,” katanya pada perhimpunan bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri.

“Ada pula kata mana tau Parlimen tak luluskan… saya nak tanya Ahli Parlimen mana yang nak bantah ni?,” kata Anwar.

Pada 4 Mei, Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal melalui Facebooknya mendakwa kenaikan tangga gaji itu adalah ‘berita tidak pasti lagi’, memandangkan ia hanya akan dilaksanakan jika Belanjawan 2025 diluluskan.

Anwar bagaimanapun berkata jika terdapat percubaan untuk menggagalkan Belanjawan 2025, ia tetap akan diluluskan dengan sokongan penuh Ahli Parlimen parti-parti dalam kerajaan perpaduan.

“Kalau pun bantah, ada Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gabungan Parti Sarawak, dan Gabungan Rakyat Sabah majoriti tetap dua pertiga,” katanya.

Pada sambutan Hari Pekerja 2024 bertemakan ‘Pekerja Kesuma Bangsa’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Anwar mengumumkan penjawat awam akan menikmati kenaikan gaji lebih 13% bermula 1 Dis, antara tertinggi dalam sejarah dengan peruntukan lebih RM10 bilion.

Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang sedang diperincikan juga akan meningkatkan gaji minimum penjawat awam melebihi RM2,000 sebulan, berbanding ketika ini menyaksikan jumlah pendapatan minimum termasuk gaji dan elaun tetap RM1,795 sebulan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.