
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kedua-dua suspek berusia 41 dan 47 tahun itu ditahan oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu IPK Perak semasa berada di dalam sebuah Proton Waja di tepi jalan.
“Hasil pemeriksaan dalam kereta tersebut menjumpai guni berwarna putih berisi 46 bungkusan plastik lutsinar. Setiap bungkusan mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 21kg, bernilai RM262, 275. Turut dirampas dua telefon bimbit dan sebuah kereta.
“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis morfin dan hasil semakan mendapati mereka mempunyai rekod kesalahan lampau kes dadah,” katanya pada sidang media di IPK Perak.
Mohd Yusri berkata, berdasarkan siasatan, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai nelayan dan pembantu kedai makan dipercayai aktif mengedar dadah sejak Februari lepas.
Menurutnya, bekalan dadah yang diperoleh daripada utara negeri ini dipercayai diedarkan di pasaran tempatan, dianggarkan boleh digunakan oleh kira-kira 20,000 penagih.
Kedua-dua suspek telah direman enam hari sejak Sabtu lepas dan kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Mohd Yusri berkata, dadah bernilai keseluruhan kira-kira RM4.09 juta dirampas dalam pelbagai operasi sejak Januari.
Setakat ini, sebanyak 7,171 individu ditahan serta pelbagai dadah dirampas, antaranya syabu sebanyak 54.9 kg; ketamin 1.54kg, ganja 2.5kg; serta heroin 40.9kg.