
Mohamad Khalid Abdul Hamid, 46, membuat pengakuan itu selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Alor Setar N Priscilla Hemamalini.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM15,000 bagi setiap pertuduhan dan akan dihukum penjara lima bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan, Khalid dengan curangnya telah menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu tiga invois atas syarikat Zaifol Azri Abu Seman berjumlah RM29,500 di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Merbok, pada 20 Jan 2020.
Menurut Bernama, bagi setiap pertuduhan, dia didakwa di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal atas faktor kepentingan awam dan kesalahan yang dilakukan berleluasa serta merugikan kerajaan.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan memandangkan dia kini yang bekerja sebagai penjaga stor dengan pendapatan RM2,500 sebulan, perlu menyara ibu yang tidak sihat serta tiga anak saudara.
Pendakwaan dikendalikan tiga pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Zahariman Keman, Muhamad Taufik Awaludin, dan Mohd Yasri Yahya.