
Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Azman Aziz Mohammed berkata majikan sebelum ini diberi tempoh 30 hari untuk mendaftar pekerja mereka selaras bulan pemutihan yang dilancarkan 1 Mei lalu.
Katanya, sepanjang bulan pemutihan majikan akan diberi pengecualian kompaun pendakwaan dan Faedah Caruman Lewat Bayar (FCLB).
“Sekiranya majikan masih gagal berbuat demikian dalam tempoh pemutihan, kami tidak akan berkompromi dengan mereka.
“Tindakan penguatkuasaan akan dipertimbangkan kepada majikan terbabit menerusi Ops Kesan 2024 yang akan dilaksanakan nanti, yang mana jumlah kompaun boleh mencecah RM5,000 mengikut kesalahan yang dilakukan,” katanya dalam sidang media di Menara Perkeso.
Tambahnya, majikan akan dikenakan semula FCLB pada kadar 6% setahun atas setiap hari caruman lewat dibayar, ekoran kegagalan berbuat demikian.
“Majikan juga boleh didakwa di mahkamah dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda hingga RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-dua sekali,” katanya.
Sementara itu, katanya, sehingga hujung Mac hampir 1.55 juta majikan berdaftar dengan Perkeso di bawah Seksyen 4 dan 5 Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Bagaimanapun, beliau berkata jumlah majikan yang aktif mencarum, iaitu sekurang-kurangnya satu caruman dalam tempoh 12 bulan adalah 600,819.