Sambutan Minggu Perpaduan buka tirai di JB esok

Sambutan Minggu Perpaduan buka tirai di JB esok

Ini sambutan kali kedua selepas julung kali diadakan di Kuching, Sarawak tahun lalu.

Seramai 200,000 pengunjung disasarkan menghadiri Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan selama empat hari hingga Ahad ini di Angsana Mall, Johor Bahru.
PETALING JAYA:
Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan akan membuka tirai di Angsana Mall, Johor Bahru, esok.

Perasmian sambutan itu akan disempurnakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 8 malam Sabtu ini.

Seramai 200,000 pengunjung disasarkan menghadiri sambutan empat hari berakhir Ahad ini yang akan diisi pelbagai aktiviti.

Ini sambutan kali kedua selepas julung kali diadakan di Kuching, Sarawak tahun lalu.

Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, berkata sambutan itu menjadi wadah perpaduan selain tapak integrasi untuk memperkukuh dan mengeratkan hubungan masyarakat dalam usaha memelihara ekosistem perpaduan.

“Sambutan ini adalah peluang yang sangat berharga untuk kita bersama-sama memperkasa perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat Malaysia, seterusnya mengukuhkan tapak integrasi nasional berteraskan Perlembagaan dan Rukun Negara.

“Kementerian Perpaduan Negara ingin mengajak orang ramai, khasnya rakyat di Johor Bahru dan kawasan sekitarnya untuk sama-sama memeriahkan Sambutan Minggu Perpaduan 2024 Peringkat Kebangsaan,” katanya dalam kenyataan.

Antara aktiviti menarik adalah “pameran rumah kami” bagi 22 etnik di negara ini, perkampungan Orang Asli suku kaum Seletar, Mahmeri dan Semai, jualan Rahmah, acara larian, permainan e-sukan serta jualan trak makanan.

Sepanjang program juga, pengunjung berpeluang menukar topi keledar Jabatan Pengangkutan Jalan dan membayar saman polis dengan kadar diskaun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.