PM umum baucar buku RM100 untuk murid sekolah, pelajar IPT

PM umum baucar buku RM100 untuk murid sekolah, pelajar IPT

Baucar untuk pelajar Tahun 4 hingga IPT itu boleh dituntut mulai esok.

Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan menyediakan panduan buku yang boleh dibeli menggunakan baucar berkenaan.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 kepada murid sekolah rendah bermula Tahun 4, pelajar sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi (IPT).

Ketika merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) di Pusat Dagangan Dunia hari ini, Anwar berkata, baucar itu boleh dituntut mulai petang esok, manakala mekanismenya akan diumumkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

“Kerajaan boleh teruskan dengan (pemberian) baucar RM100 itu dan untuk tahun ini, kita mulakan dari (murid) Tahun 4 dan ke atas bagi mengurangkan tekanan kepada kewangan kerajaan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, panduan jenis buku yang boleh dibeli menggunakan baucar tersebut akan disediakan, termasuk bahan bacaan digital, kecuali bahan bacaan picisan.

“Kita akan beri panduan (jenis) buku termasuk novel klasik (seperti) hikayat Hang Tuah, novel oleh sasterawan terkemuka dan sebagainya.” katanya sambil menggalakkan murid-murid mengembangkan pengetahuan asas kecerdasan buatan (AI).

Pemberian baucar buku dimulakan pada 2012, ketika itu dikenali sebgai Baucar Buku 1Malaysia (BB1M), dengan kadar RM250 bagi setiap pelajar Tingkatan 6, penuntut matrikulasi dan IPT.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir berkata, pengenalan semula baucar buku itu suatu berita baik terutamanya bagi keluarga berpendapatan rendah.

“Ini berita baik untuk rakyat Malaysia yang dalam kesempitan. Kita lihat keprihatinan perdana menteri terhadap generasi muda, khususnya (golongan) B40,” kata Zambry selepas majlis perasmian PBAKL.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.