Kerjasama pilihan raya mungkin sebabkan PH Sabah berpecah, kata penganalisis

Kerjasama pilihan raya mungkin sebabkan PH Sabah berpecah, kata penganalisis

Bagaimanapun, Oh Ei Sun berkata situasi politik di Sabah sukar dijangka dan sering berubah-ubah.

hajiji bung
Komponen Pakatan Harapan Sabah berbeza pendapat sama ada mahu bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah, diketuai Ketua Menteri Hajiji Noor, atau Barisan Nasional Sabah diketuai Bung Moktar Radin.
PETALING JAYA:
Komponen Pakatan Harapan (PH) Sabah akhirnya mungkin berpecah berhubung sama ada mahu menjalinkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk pilihan raya negeri akan datang, kata seorang penganalisis.

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah berkata ada serpihan dalam PH lebih memilih untuk bekerjasama dengan Bung Moktar Radin yang mengetuai BN Sabah, selari dengan kerjasama PH-BN di peringkat persekutuan dalam kerajaan perpaduan.

Pada masa yang sama, ada parti melihat GRS yang diterajui Hajiji Noor sebagai rakan yang lebih baik kerana kedudukan dan pengaruh tempatan yang lebih kuat di negeri Borneo itu, kata Lee kepada FMT.

“Perbezaan pemilihan ini boleh membawa kepada konflik dalaman dan perpecahan dalam PH Sabah sekiranya kata sepakat tidak dicapai.

Lee Kuok Ting.

“Keputusan itu kemungkinan besar bergantung kepada pengiraan strategik perikatan mana yang menawarkan peluang lebih baik untuk kejayaan pilihan raya dan kestabilan jangka masa panjang kepada kerajaan negeri,” katanya.

Lee percaya PH akan mendapati GRS sebagai rakan yang lebih menguntungkan, dan bekerjasama dengan gabungan parti tempatan akan membantu mereka mendapat kemenangan menyakinkan dalam pilihan raya akan datang, sekali gus mampu membentuk pentadbiran lebih kukuh.

“GRS menunjukkan kekuatan politik dan pengaruh besar dalam negeri itu… (kerjasama ini) juga memberi manfaat kepada PH Sabah dalam mendapatkan asas pengundi yang lebih luas dan memastikan tadbir urus yang efektif.”

Terdiri daripada parti tempatan seperti Parti Gagasan Rakyat Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), GRS mengetuai kerajaan Sabah dengan sokongan PH dan beberapa Adun Umno.

PH memberi sokongan kepada Hajiji untuk mengetuai negeri itu selepas Bung dan Presiden Warisan Shafie Apdal gagal menyingkirkan beliau sebagai ketua menteri pada awal tahun lalu.

DAP, PKR, Amanah, dan Upko yang membentuk PH Sabah — mengulangi sokongan kepada Hajiji hingga akhir penggal beliau, dan juga menyokong keputusan pentadbiran beliau dalam beberapa perkara, termasuk tidak melaksanakan Jawatankuasa Kemajuan Desa Madani (JKDM).

Jawatankuasa itu adalah inisiatif oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah diketuai ketua Umno dan BN Zahid Hamidi. Bung, ketua Umno Sabah mempertahankan JKDM dan berkata ia batu membantu Putrajaya menghapuskan kemiskinan di Sabah.

‘Tiada yang mustahil di Sabah’

Bagaimanapun, Lee dan Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, dinamik politik Sabah adalah komplek dan berubah-ubah, kerana tiada satu pun parti membuat keputusan muktamad mengenai rakan kerjasama mereka.

Oh berkata apabila bercakap mengenai gabungan politik, ‘tiada yang mustahil di Sabah’, walaupun terdapat persengketaan yang jelas antara gabungan politik ketika ini.

Oh Ei Sun.

Katanya, akan terdapat dua set perbincangan antara gabungan dan parti politik – permata sebelum pengagihan kerusi untuk pilihan raya negeri dan satu lagi selepas pilihan raya bagi membentuk kerajaan Sabah.

“Kerjasama pilihan raya tidak semestinya sama seperti gabungan memerintah. Satu kerjasama pilihan raya bukan hanya bertujuan mengelak pertindihan kerusi yang ditandingi. Ia tiada perjanjian rasmi, dan parti dalam kerjasama pilihan raya yang sama sering sabotaj satu sama lain.

“Sebagai contoh, sesebuah parti boleh menaja calon bebas untuk memastikan parti rakan yang lain tidak menang. Mereka lebih cenderung mahu ‘pesaing’ lain menang kerana sekiranya parti ‘rakan’ menang, kerusi itu akan menjadi milik mereka dalam pilihan raya akan datang.

“Bagaimanapun, pada malam keputusan pengundian, apabila setiap parti memenangi jumlah kerusi tertentu, barulah rundingan untuk gabungan memerintah bermula. Semuanya mengenai diri mereka selepas pilihan raya.”

Dengan semua faktor yang ada ini, Lee berkata masa depan politik Sabah pasca-pilihan raya kelihatan akan penuh dengan ketidakstabilan. Bagaimanapun, beliau percaya situasi di Putrajaya akan meredakan keadaan.

Katanya, politik nasional akan memberi kesan besar kepada pengembangan politik di Sabah, terutama sekali sejak hampir semua parti politik Sabah menjadi sebahagian daripada pentadbiran persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.