
Timbalan Ketua Bersatu Selangor, Mohd Rafiq Abdullah, mendakwa kenyataan Rashid hanya untuk menyedapkan hati bagi ‘menghalalkan’ perbuatan mengikut jejak langkah enam Ahli Parlimen menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Katanya, jika benar dakwaan itu sudah tentu Bersatu kawasan berkenaan akan lumpuh namun ahli kekal setia bawah parti.
“Ini semua kenyataan terdesak (Rashid), ahli Bersatu di Selat Klang dan Kapar kekal setia dengan parti.
“Tiada siapa ikut beliau,” katanya kepada FMT sambil mencabar bekas ketua Bersatu Selangor itu mengosongkan kerusi bagi menguji kekuatannya pada PRK.
Baru-baru ini, Rashid mendakwa ramai ahli Bersatu di Selat Klang menyokong tindakannya menyatakan sokongan kepada Amirudin namun secara ‘senyap-senyap’.
Dakwanya, separuh daripada 2,000 ahli akar umbi parti itu juga akan menyokongnya jika pilihan raya diadakan.
Selain Rashid, enam Ahli Parlimen menyokong Anwar adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Difahamkan, tujuh wakil rakyat terbabit tidak memberi ‘jawapan memuaskan’ dalam surat arahan Bersatu yang antaranya meminta mereka tidak menyokong pentadbiran Anwar atau kerajaan perpaduan sehingga tempoh berakhir 31 Mei lalu.
Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, mengingatkan wakil rakyat parti itu bahawa keahlian mereka disifatkan terhenti jika gagal mematuhi arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT)
FMT sebelum ini melaporkan, Rashid mempersoalkan keabsahan arahan bertulis dikeluarkan MPT kerana ada antara ahlinya bukan daripada kaum pribumi dengan merujuk kepada Rafiq dan Mohd Yazid Mohd Yunus.
Dakwanya, Rafiq daripada kaum India Muslim manakala Yazid pula Punjabi, yang menurut Rashid tidak termasuk dalam takrifan pribumi iaitu orang Melayu dan Bumiputera termasuk Orang Asal dan anak negeri Sabah serta Sarawak, berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, negeri dan undang-undang.